suria

Heliza Helimi Tempuh Pelbagai Pengalaman Kerana Makanan Halal

Heliza Helmi
Heliza Helmi
Heliza Helmi

KUALA LUPUR: Penyanyi Heliza Helmi menjelaskan, bergelar pengacara bagi rancangan Rasa Halal Antarabangsa siaran Astro Oasis merupakan satu peluang luar biasa apabila dia dapat meneroka pelbagai jenis makanan di lima buah negara.

Heliza berkata, pengalaman berada di Turki, United Kingdom, Perancis, Australia dan Korea Selatan itu amat menarik kerana dia juga dapat melihat perkembangan Islam di negara berkenaan.

“Ia merupakan satu pengalaman yang amat berharga dan bernilai buat saya. Bukan mudah untuk saya merasai kepelbagaian makanan halal yang terdapat di tempat orang. Ia amat menakjubkan,” katanya pada sidang media program berkenaan di sini, Isnin.

Hadir sama Pengurus Saluran Astro Oasis, Izlan Basar serta wakil agensi pelancongan negara berkenaan.

Heliza berkata, antara pengalaman menarik lain apabila dia menjadi minat terhadap Kimci iaitu sejenis makanan tradisional daripada sayur-sayuran di Korea selepas menikmatinya kerap kali sedangkan dia tidak menyukainya sebelum ini.

Dalam masa yang sama dia juga berhadapan dengan cabaran apabila sukar mencari lokasi untuk mendirikan solat sehingga terpaksa menunaikan ibadah di set penggambaran.

“Pernah juga saya berhadapan dengan masalah untuk bersolat tetapi saya dapat juga melaksanakannya kerana saya percaya terhadap kepentingan perkara itu walaupun di negara mana sekalipun kita berada,” jelasnya,

Sementara itu Izelan berkata, sambutan penonton terhadap program itu yang diperkenalkan pada tahun 2008 menyebabkan Astro Oasis terpaksa melanjutkannya sehingga ke musim yang keempat.

Program terbaru selama 26 episod itu kata beliau antara lain bertujuan untuk memudahkan rakyat negara ini yang ingin melancong ke lima negara terbabit mendapatkan informasi berhubung lokasi yang menyediakan makanan halal serta kemudahan beribadah.

“Berdasarkan kepada kajian kami, rakyat Malaysia gemar melancong ke lima negara berkenaan dan tentu sekali mereka tercari-cari di manakah lokasi makanan halal.

“Jadi, pihak kami telah mengambil pendekatan untuk memberi pengetahuan kepada mereka dengan menerbitkan rancangan ini,” kata beliau.

Rasa Halal Antarabangsa terbitan syarikat produksi E-Style Sdn Bhd ini bakal menemui penonton pada setiap Khamis bermula 28 Jun ini di Astro Oasis (saluran 106) pukul 7.30 malam.

Artikel Lain