suria

Seniman Tak Patuh Permintaan Aziz Satar Punca Jadi Kecoh

Aziz Satar.
Aziz Satar.
Aziz Satar.

PETALING JAYA: Keluarga kepada Datuk Aziz Sattar menyifatkan kekesalan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang menuduh keluarga pelakon itu enggan memberi kerjasama kepada mereka tidak sepatutnya berlaku seandainya persatuan tersebut memenuhi janji yang telah dipersetujui.

Cucu kepada Aziz iaitu Abu Ubaidah A. Ishak berkata, anak kepada Aziz iaitu Sandakiah membenarkan wakil Seniman melawat pelakon veteran itu tetapi hendaklah tanpa kehadiran pihak media.

Kata Abu Ubaidah, semasa perbincangan itu pihak Seniman bersetuju dengan permintaan berkenaan tetapi malang sekali semasa di Hospital Ampang, pihaknya mendapati Presiden Seniman, Zed Zaidi telah memungkiri janji apabila datang bersama media.

“Salah faham yang berlaku di Hospital Ampang apabila keluarga kami tidak membenarkan lawatan itu diteruskan telah memburukkan keadaan dan menggambarkan seolah-olah keluarga kami tidak prihatin dengan kehadiran pelawat.

“Apa yang kami lakukan itu adalah atas permintaan Datuk Aziz sendiri yang tidak mahu diganggu oleh pihak media yang mungkin akan bertanya banyak perkara kerana dia benar-benar ingin berehat. Hal itu dipersetujui oleh Seniman tetapi pada hari berkenaan, lain pula jadinya,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Rabu

Abu Ubaidah diminta mengulas kekecohan semasa rombongan Seniman, diketuai Zed Zaidi bersama pihak media yang ingin melawat Aziz Satar atau nama sebenarnya Abdul Azez Satta kerana menghidap sakit jantung di Hospital Ampang dekat sini, Selasa.

Keluarga pelakon itu tidak membenarkan wakil Seniman dan media yang hadir melawat Aziz di dalam wad sehingga menyebabkan Zed Zaidi meluarkan rasa terkejut dengan insiden itu.

Kata Abu Ubaidah, keluarganya bersetuju untuk menerima kehadiran Seniman yang mahu memberikan sumbangan tetapi hendaklah memenuhi permintaan pelakon veteran itu sendiri.

Lagipun katanya, sepanjang Aziz berada di hospital, hanya ahli keluarga terdekat dan kenalan rapat sahaja yang dibenarkan melawat disebabkan beliau mahu berehat secukupnya.

Dalam pada itu, Abu Ubaidah memberitahu keadaan datuknya itu beransur pulih selepas mendapat pemantauan di Unit Penjagaan Kritikal (CCU) sejak dimasukkan ke hospital Sabtu lalu namun masih memerlukan rehat secukupnya.

Katanya, penyebaran berita mengatakan pelakon filem Bujang Lapok itu telah meninggal dunia juga adalah mengarut dan meminta orang ramai tidak mempercayai dengan khabar angin itu.

"Ia seolah-olah satu trend dalam masyarakat yang suka menyebarkan sesuatu perkara tanpa mendapatkan kepastian sehingga perkara kematian pun dibuat main.

"Bukan tidak pernah terjadi tetapi entah mengapa ada orang masih suka membuat fitnah tanpa sebarang usul periksa," katanya.

Artikel Lain