Wajah terbaru Haiza ketika mengandung enam bulan.KUALA LUMPUR: Penyanyi Haiza menyifatkan pendapat mengatakan kehadiran anak mampu mengeratkan lagi perhubungan suami isteri ternyata benar apabila dia dan suaminya lebih mesra dan akrab sejak mengandung bayi sulung.Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin berkata, sejak enam bulan usia kandungan, suaminya, Norhanapfe Omar, semakin peka terhadap kesihatan Haiza selain kedua-duanya semakin romantik di antara satu sama lain. "Saya setuju dengan kata-kata orang bahawa anak mampu mengeratkan lagi ikatan suami isteri menjadi lebih kukuh kerana saya juga merasainya."Malah dia lebih romantik daripada biasa dan terlalu prihatin dengan keadaan diri dan anak yang saya kandungkan ini," katanya.Bagaimanapun, tambah Haiza, hal ini tidak bermakna perhubungan antaranya dan suami sering dilanda masalah sebelum mengandung.Sepanjang lima tahun perkahwinan tanpa anak, Norhanapfe kerap memberi semangat dan nasihat apabila Haiza tertekan gara-gara kesukarannya untuk mengandung."Diakui, awal dua tahun perkahwinan kami, saya tertekan kerana tidak mempunyai anak, walaupun saya dan suami tidak mempunyai sebarang masalah ketika mendapatkan pemeriksaan doktor."Dan ketika itu suamilah yang tidak putus-putus memberi semangat kepada saya dan alhamdulillah kami tidak pernah bergaduh kerana ketiadaan anak."Mungkin juga kerana keluarga kami juga tidak mendesak, ia sedikit sebanyak tidak membuatkan kami tertekan," ujarnya.Haiza bernikah dengan Norhanapfe di Masjid Temenggung Daeng Abdul Rahman, Pontian, Johor pada 24 Ogos 2007.Sementara itu, penyanyi dangdut itu akan muncul bersama Jaafar Onn bagi menghiburkan pengunjung yang datang untuk berbuka puasa di Hotel Dorsett Regency Kuala Lumpur pada bulan Ramadan nanti.Seperti tahun-tahun sebelumnya, Haiza dan Jaafar akan mempersembahkan lagu-lagu Hari Raya bagi menghiburkan pengunjung yang hadir."Menarik lagi pada tahun ini, saya juga akan menjual kuih tradisional yang diberi nama 'Citarasa Haiza Cakar Ayam'."Saya menjual kuih tersebut yang dibuat oleh golongan ibu-ibu tunggal di Johor Bahru dan ia kemudiannya dijual dengan harga yang sangat berpatutan, hanya RM28 bagi sebekas yang besar," katanya.Dalam pada itu, pengunjung yang ingin berbuka puasa di hotel tersebut pastinya berpuas hati dengan makanan yang disediakan kerana ia memenuhi selera pengunjung dengan masakan-masakan popular ala kampung.Pihak hotel juga menyediakan pelbagai juadah seperti gado-gado, hati ayam goreng berempah, sambal, ulam, pisang dan cempedak goreng, serawa durian, daging masak Arab, sambil tumis udang petai, pucuk paku lemak cili padi dan sotong tumis jintan.Turut tersedia hidangan pencuci mulut, sagu sejuk bersama kelapa, kuih nyonya, bubur cha-cha dan bubur pulut hitam. Kadar bayaran berbuka RM69++ seorang.