suria

Konsert Stephen Rahman Bakal Ubah Persepsi Peminat

Stephen Rahman-Hughes
Stephen Rahman-Hughes
Stephen Rahman-Hughes

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Stephen Rahman-Hughes percaya persembahan One Night Only with Stephen Rahman-Hughes akan mengubah persepsi peminat yang sering meletakkannya sebagai seorang artis yang eksklusif.

Rahman-Hughes berkata, persembahan yang santai dan berskala kecil itu akan menonjolkan sisi berbeza dirinya yang sinonim dengan imej eksklusif dan hanya terlibat dalam persembahan seni berskala besar saja sebelum ini.

"Ini (persembahan) adalah pendedahan awal mengenai lagu-lagu daripada album saya kepada peminat di sini. Sebab itu saya adakan persembahan yang ringkas, santai dan berskala kecil.

"Ia juga adalah eksperimen saya menampilkan sisi berbeza kepada peminat berbanding sebelum ini saya banyak terbabit dalam persembahan pentas yang epik dan berskala besar saja," katanya.

Aktor filem Hikayat Merong Mahawangsa itu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media persembahan itu di Seduction Club & Live Bar, Jalan P. Ramlee di sini, petang Selasa.

Pada persembahan berdurasi satu jam itu nanti, Rahman-Hughes dijangka menyampaikan kira-kira 10 hingga 12 lagu termasuk lima lagu daripada album sulungnya yang dilancarkan Mac lalu.

Ia bakal bermula pada pukul 9 malam di lokasi yang sama pada Khamis ini.

Ditanya tidakkah dia terburu-buru mengadakan persembahan itu memandangkan lagu-lagu album tersebut belum popular, Rahman-Hughes berkata perkara itu tidak timbul kerana ia adalah platform untuk memperkenalkan lagu-lagunya kepada peminat.

"Tidak timbul persoalan saya terburu-buru atau masa tidak sesuai kerana persembahan nanti akan memberikan peluang kepada peminat mengenali lagu-lagu saya secara langsung.

"Saya hanya mahu mendekati peminat dalam suasana yang santai dan relaks, bergurau-senda dan berinteraksi sambil menghiburkan mereka dengan lagu-lagu saya," ujarnya.

Tiket One Night Only with Stephe Rahman-Hughes yang berharga RM80 (termasuk minuman) boleh didapati di pintu masuk Seduction Club atau hubungi 012-201 3662 atau 010-427 9400.

Persembahan itu juga adalah bersempena promosi albumnya yang memuatkan lapan lagu baru berkonsepkan pop Melayu.

Ia sudah berada di pasaran sejak 16 Disember tahun lalu dengan suntikan pop rock, pop alternatif dan balada.

Artikel Lain