Faizal HusseinKUALA LUMPUR: Pelakon Faizal Hussein menjelaskan buku pertama tulisannya berjudul Limelight bukan bertujuan untuk menyindir atau mengaibkan mana-mana pihak di dalam industri perfileman tanah air.Faizal berkata, buku itu sebaliknya memaparkan realiti sebenar dunia perfileman tempatan berdasarkan pengalamannya selama 40 tahun bergelar pelakon. "Mungkin beberapa kandungan dalam buku ini akan menyinggung pihak tertentu tetapi semua itu adalah fakta dan cerita yang saya dengar dan lalui dalam industri perfileman sepanjang 40 tahun."Terlebih dahulu saya mohon maaf kepada semua jika ada yang kurang senang atau terasa. Namun ia dihasilkan untuk tatapan dan panduan kepada warga seni khususnya yang baru mengenai selok-belok industri," ujarnya kepada mStar Online.Limelight memaparkan corat-coret dunia perfileman daripada kaca mata aktor itu. Ia juga adalah perkongsian kisah peribadi Faizal yang dilahirkan daripada keluarga seni aktor dan pengarah veteran Allahyarham Hussein Abu Hassan dan aktres Allahyarham Mahyon Ismail.Buku setebal 200 halaman itu diterbitkan Merpati Jingga dan bakal dipasarkan tidak lama lagi.Bercerita lanjut, Faizal menyifatkan buku tersebut sebagai medan terbaik untuk dia memberikan panduan dan bimbingan kepada karyawan muda berhubung matlamat sebenar dalam dunia seni."Majoriti artis baru hanya melihat bidang ini untuk popular dan hidup mewah sedangkan anak seni mempunyai tanggungjawab yang besar kepada masyarakat."Saya mahu berkongsi dengan anak seni dan pekerja-pekerja filem dan membetulkan matlamat sebenar dan tanggungjawab mereka berdasarkan pengalaman saya selama ini," luahnya.Ditanya mengenai keberaniannya mendedahkan realiti sebenar industri filem dalam buku itu, Faizal berkata dia bersedia menerima pelbagai reaksi ekoran tindakan itu."Saya sedar apabila kita bercerita dengan ikhlas mengenai sesuatu kebenaran, pasti ada pihak yang tersinggung dengan pendedahan itu."Ada banyak kisah sebenar berkaitan pengalaman dan luahan arwah bapa saya mengenai industri, selain cerita peribadi saya dan keluarga. Tapi saya berasa ia perlu dikongsi kepada khalayak," akuinya.Dalam perkembangan lain, Faizal berkata dia bakal memulakan penggambaran filem terbaru arahan Bade Hj Azmi berjudul Hitam Putih tidak lama lagi.Dua filem lakonannya, Pencinta dan Gila-Gila Remaja masih menantikan slot tayangan di pawagam.