suria

Yusry (KRU) Tidak Kekok Terima Arahan

Yusry teruja dapat meminjamkan suaranya untuk filem The Smurfs versi Bahasa Malaysia. Foto ROHAIZAT DARUS.
Yusry teruja dapat meminjamkan suaranya untuk filem The Smurfs versi Bahasa Malaysia. Foto ROHAIZAT DARUS.
Yusry teruja dapat meminjamkan suaranya untuk filem The Smurfs versi Bahasa Malaysia. Foto ROHAIZAT DARUS.

KUALA LUMPUR: Pengarah terkenal, Yusry Abdul Halim menjelaskan dia tidak berasa kekok apabila menerima arahan daripada orang lain semasa proses mengalih suara filem The Smurfs ke dalam Bahasa Malaysia.

Yusry, 39, berkata, dia tidak perlu berasa demikian hanya kerana dia adalah pengarah filem sebaliknya bersikap profesional dalam melunaskan tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan itu.

"Tiada masalah untuk saya mendengar arahan daripada orang lain walaupun saya sendiri adalah seorang pengarah walaupun melakukan proses alih suara bukannya mudah kerana ia perlu tepat supaya gerak bibir tidak lari.

"Apabila pihak produksi tidak berpuas hati dengan hasil kerja kita, saya sangat terbuka untuk memperbaiki diri," katanya kepada mStar Online ketika ditemui semasa pelancaran filem itu di sini, pada Selasa.

Yusry memegang watak Brainy Smurf dan filem versi Bahasa Malaysia itu akan ditayangkan pada 19 Ogos depan, pukul 8 malam khas di HBO (saluran 411) dan HBO HD (saluran 431) bersempena ulang tahun ke 20 saluran itu di rantau Asia.

Dalam pada itu, Yusry berkata, dia sangat teruja dengan projek tersebut kerana ini adalah kali pertama dia meminjamkan suaranya untuk filem animasi.

Yusry berkata, walaupun agak sukar tetapi dia mula berasa seronok kerana ia memberikan pengalam baru kepadanya apatah lagi dia memang meminati filem tersebut.

"Mula-mula memang sukar kerana perlu mengubah suara untuk disesuaikan dengan watak dan selepas beberapa kali mencuba ia berjalan dengan lancar," katanya.

Dalam perkembangan sama, Naib Presiden Kanan, Jualan dan Pemasaran HBO di Asia, Jacelyn Kek berkata, pihaknya yakin filem berkenaan akan mendapat sambutan daripada penonton setia HBO selain ia adalah sebagai tanda terima kasih atas sokongan mereka terhadap saluran itu.

Jacelyn juga turut memberitahu bagi meraikan filem The Smurfs versi Bahasa Malaysia itu, pihaknya akan mengadakan siri jelajah HBO The Smurfs di pusat membeli belah One Utama bermula 8 hingga 12 Ogos depan dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam.

Sementara itu, filem berkenaan turut menggunakan suara isterinya, Lisa Surihani yang memegang watak sebagai Smurfette dan Yusry memberitahu seronok dapat bekerjasama dengan Lisa.

Selain Lisa, beberapa nama lain seperti Aznil Hj Nawawi (Gargamel), Hafiz Suip (Clumsy Smurf), Datuk AC Mizal dan isterinya, Datin Emelia Rosnaida sebagai pasangan manusia iaitu Patrick dan Grace Winslow dan Elfira Loy (Odile) turut menyumbangkan suara untuk filem tersebut.

The Smurfs versi Bahasa Malaysia juga turut mengundang beberapa wartawan hiburan dan blogger untuk meminjamkan suara mereka di dalam filem tersebut selain penyampai radio Era iaitu Adi Fashla, Ray dan Hanif.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain