Juliana sedang hamil tiga bulan. KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Juliana Ibrahim yakin dirinya yang sedang hamil bukanlah alasan untuk pihak produksi tidak memberinya tawaran berlakon.Juliana, 31, yang sedang hamil tiga bulan memberitahu, dia yakin dengan rezeki yang telah ditentukan namun tidak mahu terlalu berharap dengan sesuatu perkara yang tidak pasti. "Saya sejujurnya tiada masalah untuk berlakon ketika sedang hamil dan saya yakin pihak produksi juga tiada masalah untuk mengupah wanita mengandung seperti saya dalam produksi mereka."Jika tiada rezeki dalam bidang lakonan pun saya yakin dengan rezeki yang telah ditentukan untuk saya tambahan pula rezeki anak ni kita tidak tahu macam mana," katanya kepada mStar Online.Juliana ditemui ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama penghuni Pusat Jagaan Nur El Amin di sini pada petang Selasa lalu.Sebelum itu, Juliana mendedahkan dia sedang hamil tiga bulan dan memberitahu sangat teruja dengan kehamilan tersebut.Pengacara yang pernah popular dengan program Chicky Hour itu telah pun mempunyai dua anak lain iaitu Luna Alyssa dan Alaia Zahira, masing-masing berusia tiga dan dua tahun."Saya dan suami cukup teruja dengan kehamilan ini kerana kami memang merancang untuk mendapatkan cahaya mata baru tahun ini. Alhamdulillahlah doa kami dimakbulkan oleh Allah," ujarnya.Dalam pada itu, Juliana, berkata, suaminya Pelle Aardewerk, 38, menyarankan agar dia kekal aktif semasa tempoh kehamilannya berbanding duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa.Malah kata Juliana, sejak mengandung anak pertama lagi dia tidak pernah memanjakan diri sebaliknya sentiasa sibuk melakukan pelbagai aktiviti."Saya tidak mahu terlalu memanjakan diri saya kerana yakin dengan kekal aktif ia dapat membantu saya mengharungi kehamilan ini dengan lebih baik," tambahnya.Dalam perkembangan lain, Juliana bakal muncul dalam filem arahan Datuk Zahim Al Bakri berjudul Spilt Gravy On Rice selain drama bersiri I Eat KL dan sebuah telefilem terbitan Aquila Emas berjudul Bertemu Kasih.