suria

Tinggal Berasingan Berjaya Pulihkan Rumah Tangga Ani Mayuni

Ani Mayuni tidak mengalami trauma selepas insiden dipukul suami pada Februari lalu. - Foto oleh FAIHAN GHANI
Ani Mayuni tidak mengalami trauma selepas insiden dipukul suami pada Februari lalu. - Foto oleh FAIHAN GHANI
Ani Mayuni tidak mengalami trauma selepas insiden dipukul suami pada Februari lalu. - Foto oleh FAIHAN GHANI

KUALA LUMPUR: Konflik rumah tangga penyanyi dangdut Ani Mayuni yang berlaku pada awal Februari lalu akhirnya selesai apabila dia dan suaminya Zairi Azmi mengambil pendekatan untuk berjauhan selama sebulan setengah.

Menurut Ani atau nama sebenarnya Aishah An Nur Osman, 33, tindakan itu terbukti berkesan apabila proses berjauhan itu dapat memulihkan keretakan hubungan mereka sebelum ini.

“Selepas insiden itu (dipukul) saya dan suami ambil keputusan untuk berjauhan bagi lebih mengenali diri dan menilai semula baik buruk sikap kami.

“Saya bersyukur, rupanya tempoh berjauhan itu berjaya memulihkan hubungan perkahwinan kami,” katanya ketika ditemui mStar Online di sini, malam Rabu lalu.

Pada 2 Februari lalu, sebuah akhbar harian tabloid melaporkan Ani telah ditendang dan dipukul suaminya yang juga merupakan bekas anggota kumpulan muzik Arrow di rumah mereka yang terletak di Desa Rejang, di sini.

Dalam laporan tersebut, penyanyi dangdut itu mendakwa kepalanya turut dihentak ke dinding hanya kerana dia meminta suaminya membelikan sarapan pagi.

Bagaimanapun, Ani menafikan bahawa dirinya ditendang seperti yang diuar-uarkan di media sebaliknya hanya dipukul selepas bertengkar.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Sedap ini berkata, tempoh berjauhan itu memberikan ruang antara satu sama lain untuk memperbaiki kekurangan masing-masing.

“Apa yang saya boleh katakan, konflik rumah tangga kami sudah pulih dan kehidupan bertambah harmoni. Saya melihat ada hikmah di sebalik kejadian itu.

“Apabila berjauhan selama sebulan setengah, baru saya sedar kesilapan saya dan begitu juga suami. Ia membuatkan kami bermuhasabah diri dan memperbaiki kesilapan masing-masing.

“Insiden itu berpunca daripada emosi kami yang saling memendam rasa selama ini kerana isu masa dan sering berjauhan,” katanya.

Ditanya mengenai kesan insiden itu kepada dirinya, Ani berkata tiada impak negatif dialami kerana kemelut perkahwinannya berjaya diselesaikan dalam keadaan baik.

“Saya memang tidak pernah fikirkan atau mahukan perceraian. Biar seteruk mana pun keadaannya ketika itu, saya cuba bertahan demi anak-anak dan rumah tangga saya.

“Kini keadaan kembali seperti sedia kala, jadi saya tidak perlu berasa trauma atau bimbang. Malah, kehidupan kami sekeluarga semakin bahagia,” katanya.

Ani dan Zairi Azmi atau Ayie, 37, mendirikan rumah tangga pada 5 Jun 2004. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Wirda Viviana, 7, Wirna Airisya, 3, dan Muhammad Emir Oezil, 2.

Artikel Lain