suria

Mahkamah Beri Hak Penjagaan Sementara Anak-Anak MJ Kepada Sepupu Mereka

Dari kiri Tito Jackson, Blanket Jackson, Paris Jackson dan Prince Jackson (depan).
Dari kiri Tito Jackson, Blanket Jackson, Paris Jackson dan Prince Jackson (depan).
Dari kiri Tito Jackson, Blanket Jackson, Paris Jackson dan Prince Jackson (depan).

LOS ANGELES: Mahkamah Agung Los Angeles telah mengeluarkan arahan memberikan hak penjagaan sementara anak-anak mendiang Michael Jackson kepada sepupu mereka, iaitu Tito Jackson Jr selepas berlakunya krisis dan pertelingkahan di kalangan penjaga asal mereka.

Tito Jr, anak kepada abang sulung Michael berusia 34 tahun.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mitchell Beckloff setelah beliau mendapati, penjaga asal ketiga-tiga anak Michael iaitu nenek mereka, Katherine Jackson tidak berada di rumahnya sejak sembilan hari yang lalu untuk menjaga kebajikan mereka.

Isu hak penjagaan ke atas ketiga-tiga anak Michael itu dibuat oleh Tito Jr sendiri apabila dia mendapati ahli-ahli keluarganya yang lain bergaduh tidak dapat memutuskan siapakah yang patut menjaga kebajikan sepupu-sepupunya itu ekoran ketiadaan Katherine.

Katherine Jackson, 82, yang diwasiatkan oleh Michael sebagai penjaga anak-anaknya, Prince Michael, 15, Paris, 14 dan Blanket Jackson, 10, telah dilaporkan hilang oleh Paris sendiri sejak seminggu yang lalu.

Paris telah memuat naikkan dalam laman Twitter miliknya yang dia tidak dapat berhubungan dan bercakap dengan neneknya sejak sembilan hari yang lalu dan tertanya-tanya ke manakah neneknya menghilang.

Bagaimanapun selepas berita mengenai kehilangan Katherine tersebar luas, ahli-ahli keluarga Michael sendiri telah mengeluarkan kenyataan mengatakan yang ibu mereka kini sedang berehat di salah sebuah kediaman keluarga di Arizona atas nasihat doktor.

Bagaimanapun peguam-peguam untuk Tito Jackson Jr dan juga Katherine Jackson telah membangkitkan persoalan dalam perbicaraan hak penjagaan sementara itu sama ada ketiadaan Katherine dari rumah asalnya adalah atas kerelaan sendiri atau sebaliknya.

Tito Jackson Jr memberitahu Hakim Beckloff bahawa dia berjaya bercakap dengan Katherine pada Selasa lalu tetapi mengesyaki sesuatu yang tidak kena kerana neneknya itu tidak kelihatan normal dan bercakap menggunakan bahasa kod.

“Saya tidak pernah mendengar nenek saya bercakap seperti itu dan apabila saya bertanyakan soalan yang mudah, dia tidak dapat menjawabnya dengan jelas dan telus," tegas Tito lagi.

Sementara itu, seorang lagi abang Michael, Randy Jackson, ketika dihubungi oleh ABC News pada awal Rabu berkata, Katherine sebenarnya dalam perjalanan pulang semula ke kediamannya di sini selepas dinasihatkan oleh doktor agar mengasingkan diri buat sementara waktu dan berehat.

Sebelum tercetusnya insiden ini, Paris telah dilihat bertengkar dengan makciknya Janet Jackson, di kompaun rumah Katherine.

Janet Jackson, memang sebelum ini telah mempertikaikan kesahihan wasiat adiknya Michael khususnya berkaitan dengan pelantikan dua orang pelaksana ke atas harta-harta peninggalan mendiang.

Wasiat itu antara lain menyatakan, wang yang diperolehi hasil daripada penjualan kepentingan Michael harus pergi kepada Katherine dan juga anak-anaknya.

Tetapi beberapa ahli keluarga Michael termasuklah Janet mendakwa tandatangan Michael dalam wasiat itu adalah palsu.

Ini kerana kata mereka, Michael tidak berada di California pada hari wasiat itu didakwa ditandatangani.

Dua orang pelaksana harta-harta Michael iaitu peguamnya, John Branca dan rakan muziknya, John McClain — menegaskan bahawa wasiat itu adalah sah dan tulen.

Sebaliknya mereka telah menyatakan awal minggu ini yang mereka lebih perihatin tentang melindungi hak anak-anak Michael daripada menjadi mangsa buli, pengaruh yang tidak sepatutnya dan akhir sekali ketamakan.

Sejak kematian Michael pada usia 50 tahun pada Jun 2009, dua orang pelaksana hartanya telah memberi kelulusan ke atas beberapa projek termasuklah konsert kenang-kenangan Michael menerusi filem “This Is It”, serta penghasilan album dan video Michael Jackson daripada muzik yang belum pernah diperdengarkan sebelum ini.

Berdasarkan dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah, adalah didapati, pengurusan harta peninggalan Michael telah berjaya membuat keuntungan bersih berjumlah AS$475 juta sejak kematiannya itu.

Dan sebahagian besar daripada hutangnya berjumlah AS$500 juta juga telah berjaya diselesaikan oleh para pentadbir hartanya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, peguam Katherine, Perry Sanders berkata, pihaknya akan dengan segera memfailkan tuntutan hak penjagaan semula sebaik sahaja anak guamnya itu kembali ke kediaman asalnya dalam tempoh terdekat ini.

Tetapi Sanders sendiri mengakui kepada para wartawan bahawa dia juga belum berpeluang untuk bertemu dengan Katherine sejak anak guamnya itu berlepas ke Arizona untuk berada bersama-sama anaknya yang lain.

Namun begitu, 'kehilangan' Katherine itu masih menjadi misteri dan tanda tanya pelbagai pihak.

Artikel Lain