Zizan Nin tidak kemaruk untuk popular di Indonesia. KUALA LUMPUR: Pelakon Zizan Nin menjelaskan dirinya tidak kemaruk untuk mengembangkan bakat lakonannya ke negara jiran iaitu Indonesia sebaliknya ingin memberikan tumpuan kepada industri tempatan.Zizan berkata, dia tidak yakin namanya akan terkenal di rantau ini dengan melebarkan kerjaya di negara itu kerana Indonesia bukan pusat bagi mengembangkan kerjaya sebagai pelakon. "Kalau hendak terkenal di Asia, Hong Kong adalah tempatnya tetapi bukan mudah untuk menembusi pasaran mereka kerana pandai berkungfu adalah kriteria utama."Malah kalau nak menembusi pasaran Bollywood pun adalah perkara yang sukar apatah lagi Hollywood yang menjadi tumpuan pelakon dari seluruh dunia."Jadi adalah lebih baik saya kukuhkan nama di negara sendiri tambahan pula banyak peluang yang ditawarkan oleh produksi tempatan cuma kita sebagai pelakon kena bekerja keras dalam mendapat sesuatu," ujarnya kepada mStar Online.Dalam pada itu, Zizan menjelaskan dia bukan menyombong tetapi berpegang kepada realiti yang dilihat sendiri selepas bekerja dalam sebuah telefilem berjudul Purple Haze di sana baru-baru ini.Zizan memberitahu, pengalaman bekerja dengan produksi tersebut telah menyedarkan dirinya bahawa dia adalah seorang pelakon yang beruntung kerana industri perfileman tempatan jauh lebih baik daripada mereka."Bukan ingin memperlekeh dengan kredibiliti mereka tetapi percayalah produksi di Malaysia jauh lebih baik daripada mereka."Malah ada krew-krew bertanya kepada saya jika ada peluang untuk mereka bekerja dengan produksi Malaysia dan ingin mencuba nasib di negara kita," ujarnya.Bagaimanapun kata Zizan, dia menyanjung tinggi terhadap aspek kreativiti krew produksi penggambaran mereka yang begitu terbuka dan mempunyai banyak idea dalam menghasilkan sesuatu babak itu menjadi menarik.Sementara itu, Zizan berkata, dia menerima dengan hati terbuka jika ada lagi tawaran daripada Indonesia dan tiada masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana artis dari negara itu."Saya selesa bekerja dengan produksi dari Indonesia malah tidak keberatan untuk menerima sebarang tawaran daripada mereka cuma ini adalah pendapat saya mengenai perbezaan bekerja di negara orang berbanding tempat sendiri," ujarnya.Telefilem Purple Haze yang masih belum ditentukan tarikh tayangannya itu menggandingkan Zizan dengan pelakon terkenal Indonesia iaitu Julian Tunto dan LD Tahir.Penggambaran dilakukan selama dua minggu di Bogor, Indonesia.