suria

Shima Tunggu Lagu Sesuai Untuk Aktif Semula

Wajah terbaru Shima ketika ditemui pada majlis pengagihan royalti dan berbuka puasa Prism di sini, minggu lalu. - Foto oleh FAIHAN GHANI
Wajah terbaru Shima ketika ditemui pada majlis pengagihan royalti dan berbuka puasa Prism di sini, minggu lalu. - Foto oleh FAIHAN GHANI
Wajah terbaru Shima ketika ditemui pada majlis pengagihan royalti dan berbuka puasa Prism di sini, minggu lalu. - Foto oleh FAIHAN GHANI

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular era 90-an, Shima mengakui dia masih menyimpan hasrat untuk kembali aktif di persada muzik tanah air selepas lima tahun menyepi.

Shima atau nama sebenarnya Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, 43, berkata dia masih berharap untuk muncul semula dengan album baru sejak hampir 12 tahun dia menyanyi di lounge hotel dan pusat hiburan.

“Saya mula menyanyi di pelbagai hotel dan pusat hiburan sejak 2000 selepas kerjaya nyanyian profesional tidak menentu.

“Sekali sudah menjadi penyanyi, adalah mustahil jika saya katakan minat itu sudah pudar. Cuma, sehingga kini saya masih mencari lagu-lagu yang sesuai jika ingin muncul semula dalam industri,” katanya ketika ditemui, di sini.

Penyanyi lagu Teringin ini berkata, sejak album terakhirnya berjudul Ke Pangkuanmu (2007) kurang menyerlah di pasaran, dia menjadi lebih berhati-hati dalam pemilihan lagu dan konsep yang bersesuaian dengan selera semasa.

“Zaman sudah berubah dan begitu juga dengan selera muzik. Kalau hendak buat lagu, saya kena fikir lagu yang bersesuaian dengan selera muzik generasi hari ini dan juga selera peminat lama.

“Saya masih menantikan tawaran dan material yang bagus barulah saya berani muncul semula,” katanya.

Ditanya mengenai kehilangannya daripada industri muzik, Shima berkata kesibukannya dengan komitmen nyanyian di luar membuatkan dia tidak mempunyai waktu untuk muncul di majlis hiburan.

“Saya menyanyi di hotel atau kelab pada setiap Isnin hingga Sabtu. Hanya pada Ahad baru saya dapat cuti, maka sudah tentu waktu itu saya habiskan dengan berehat dan membuat kerja di rumah.

“Bukanlah saya tidak muncul langsung di majlis-majlis hiburan, cuma tidak kerap sahaja,” katanya.

Mengenai status dirinya, Shima berkata dia tidak dapat bercerita lanjut berhubung perkara itu demi menjaga hati pihak-pihak tertentu.

“Saya tidak solo dan cukuplah saya katakan bahawa saya sudah berpunya. Bagaimanapun, saya tidak boleh cakap banyak sebab keadaannya terlalu rumit untuk diulas,” katanya yang kini menyanyi di lounge Hotel Grand Millennium di sini.

Artikel Lain