suria

Kamal Adli Hanya Terlewat, Sangkal Tidak Berdisplin

Kamal menolak dakwaan kononnya dia seorang artis yang tidak berdisiplin. Foto SHAARI CHE MAT.
Kamal menolak dakwaan kononnya dia seorang artis yang tidak berdisiplin. Foto SHAARI CHE MAT.
Kamal menolak dakwaan kononnya dia seorang artis yang tidak berdisiplin. Foto SHAARI CHE MAT.

PETALING JAYA: Pelakon kacak Kamal Adli menolak dakwaan kononnya dia mengalami masalah disiplin sehingga menjejaskan sesuatu penggambaran filem atau drama yang dilakonkannya.

Kamal, 26, berkata, dia berasa hairan apabila isu itu dibangkitkan bagi merosakkan reputasinya sebagai pelakon namun bersyukur masih mendapat sokongan daripada ramai pihak.

"Jika betul saya tidak berdisiplin sudah lama kerjaya lakonan saya terkubur tetapi Alhamdulillahlah penerbit dan pengarah masih memberikan kepercayaan untuk saya berlakon dalam produksi mereka," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun Kamal mengakui ada kalanya dia terlambat ke lokasi penggambaran dan ia bukan disengajakan.

"Saya bukanlah sempurna dan mengakui ada kalanya saya terlambat ke lokasi kerana terikat dengan jadual lain dan paling lambat pun, lebih kurang sejam," katanya.

Dalam pada itu, Kamal berkata, dia tidak berkecil hati dengan tuduhan itu kerana menganggap ia adalah bukti masyarakat sayang dan prihatin terhadap dirinya.

"Saya lebih bimbang jika orang langsung tidak berminat untuk menegur atau mempedulikan tentang diri saya. Lebih baik ada yang menasihati supaya saya tidak lupa diri," jelasnya.

Sementara itu, Kamal melahirkan rasa teruja apabila diberi kepercayaan memegang watak utama dalam drama bersiri terbaru berjudul Runtun Qalbu arahan Khalid Nadzri.

Menurut Kamal, watak dalam drama yang turut menggandingkannya dengan pelakon Fasha Sandha itu cukup berat dan memerlukan perhatian yang cukup mendalam.

"Watak yang saya pegang penuh dengan tekanan dan bukan mudah untuk memberi reaksi itu supaya penonton percaya dengan apa yang kita cuba sampaikan.

"Saya banyak berlatih di hadapan cermin untuk memastikan mimik muka tertekan dapat digambarkan dengan jelas," ujarnya.

Drama bersiri 13 episod itu bakal menemui penonton menerusi slot Zehra mulai 21 September ini.

Ia akan disiarkan pada pukul 9 malam setiap Jumaat di TV3.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain