suria

Ahli Hijjaz Ada Petua Elak Bergolak Sejak 14 Tahun

Hijjaz. Foto - Facebook milik Hijjaz
Hijjaz. Foto - Facebook milik Hijjaz
Hijjaz. Foto - Facebook milik Hijjaz

PETALING JAYA: Kumpulan Hijjaz mengambil pendekatan meluahkan rasa tidak puas hati sesama ahli serta menjalankan perniagaan bersama merupakan petua bagaimana kumpulan nasyid itu tidak pernah bertukar anggota sejak 14 tahun.

Salah seorang ahlinya, Isman Nadim Isam berkata, ikatan silaturahim di antara mereka terjalin ketika kumpulan itu belum tertubuh dan hubungan itu dieratkan lagi dengan sikap persefahaman selepas sama-sama bergabung menubuhkan Hijjaz.

"Apabila kami bersatu menjadi sebuah kumpulan muzik, kami kukuhkan ikatan perhubungan ini melalui perniagaan, kiranya kami bekerja sama-sama. Malah kami akan sama-sama pastikan tiada siapa yang berkecil hati antara kami dalam sesuatu perkara.

"Alhamdulillah, belum pernah lagi berlaku 'perang besar' di antara kami," selorohnya yang ditemui pada majlis rumah terbuka di Hijjaz Records Sdn Bhd, Dataran Sunway, di sini, Khamis.

Selain Isman, Kumpulan yang popular dengan lagu Pelita Hidup itu turut dibarisi Munif Ahmad, Mohd Faizal Osman dan Muhammad Ariffin Ahmad.

Mengenai perkembangan terkini, Hijjaz akan muncul dengan sebuah album terbaru berjudul Susah Senang Kita Bersama yang akan dipasarkan pada Oktober depan.

Sebanyak 10 buah lagu baru akan dimuatkan dalam album tersebut termasuklah sebuah lagu runut bunyi animasi Saladin (disiarkan di TV AlHijrah) iaitu Pemula Langkah yang telah pun disiarkan di beberapa stesen radio tempatan.

"Selepas dua tahun Hijjaz tanpa album, Susah Senang Kita Bersama akan mengubati rindu para peminat kami.

"Walaupun jumlah kos pembikinan untuk album ini tidaklah sebesar album terdahulu iaitu sebanyak RM100,000, kami tetap tampilkan yang terbaik buat para peminat.

"Cuma album kali ini lebih santai tanpa sebarang konsep. Tetapi masih lagi mengekalkan muzik-muzik orkestra pada setiap lagu yang dibikin," katanya.

Antara lagu-lagu yang dimuatkan ialah Pemimpin Tiga Darjat, Serambi Madinah dan Susah Senang Kami Bersama.

Sementara itu, majlis rumah terbuka Hijjaz dihadiri lebih 300 orang tetamu yang terdiri daripada kalangan penggiat muzik dan kenalan-kenalan rapat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain