suria

Artis Popular Di Konsert Suria FM 29 September Depan

Sebahagian artis dan deejay yang akan menjayakan Konsert Kemuncak Suria FM pada 29 September depan. Foto CHAN TAK KONG
Sebahagian artis dan deejay yang akan menjayakan Konsert Kemuncak Suria FM pada 29 September depan. Foto CHAN TAK KONG
Sebahagian artis dan deejay yang akan menjayakan Konsert Kemuncak Suria FM pada 29 September depan. Foto CHAN TAK KONG

KUALA LUMPUR: Konsert Kemuncak Suria FM yang memasuki tahun keempat penganjurannya bakal menampilkan 10 orang artis terkenal pada acara yang bakal diadakan pada 29 September depan di Presint 3, Dataran Putrajaya.

Timbalan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Yusry Abu Samah berkata, barisan artis yang dipilih adalah mengikut selera pendengar setia stesen radio itu serta tarikan muzik terbaik yang akan dipersembahkan.

"Ini adalah tahun keempat Suria FM menganjurkan konsert ini dan kami menjangkakan menerima lebih 35,000 pengunjung pada hari itu nanti," katanya pada sidang media yang diadakan di sini pada Selasa.

Yusri memberitahu antara artis yang bakal memeriahkan konsert berkenaan adalah kumpulan Nico, Stacy, Mojo, Sixth Sense, Jimmy Palikat, One Nation Emcee, Alyah, Shila Amzah, Ella dan Faizal Tahir.

Ia akan dihoskan oleh lapan orang penyampai stesen radio tersebut iaitu Linda Onn, Tyzo, Halim Othman, Nabil Ahmad, Kenchana Devi, Reza Mohamed, Bob Ringgo dan DJ Lin.

Dalam pada itu, Yusri memberitahu pemilihan Putrajaya sebagai lokasi buat tahun ketiga konsert berkenaan adalah kerana ia memudahkan orang ramai untuk hadir selain jumlah pendengar paling ramai dari kawasan tersebut.

Tambah Yusri, kerjasama daripada Perbadanan Putrajaya dan Malaysia Building Society Berhad (MBSB) juga melancarkan perancangan mengadakan konsert itu.

"Putrajaya dilihat sebagai lokasi yang memudahkan orang ramai daripada pelbagai kawasan untuk berkumpul tambahan Dataran Putrajaya sangat luas untuk menampung pengunjung," ujarnya.

Sementara itu, Yusri memberitahu selain konsert kemuncak, karnival yang bermula dari pukul 12 tengah hari itu akan menyediakan pelbagai aktiviti dan aneka gerai jualan.

Malah satu pertandingan karaoke bakal diadakan pada pukul 3 petang untuk hiburan seisi keluarga.

"Bermula pukul 5 hingga 7 petang pula konsert mini akan diadakan dengan membariskan bakat-bakat muda yang semakin menempah nama dalam industri muzik seperti Drama Band, Arrora Salwa, Amir Jahari dan Klangit," ujarnya.

Tambah Yusri, konsert dan karnival berkenaan diadakan secara percuma kepada umum.

Dalam perkembangan sama, bagi mempromosikan konsert itu, deejay Suria FM iaitu Reza dan Bob Ringgo akan berada di Kluang Mall pada 22 September bersama artis seperti Mojo, Arrora Salwa, Nadia dan Feroq dengan pelbagai aktiviti bermula pukul 3 petang.

Manakala pada 23 September pada waktu sama, Halim Othman dan Linda Onn bersama para artis akan bertemu peminat di Metro Point, Kajang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain