suria

Sinar FM Dekati Pendengar Dengan 'Konsert R&R'

Barisan penyampai dan artis yang terlibat dalam konsert Rock & Retro Sinar pada 27 September ini di Plaza Angsana, Johor Bahru, Johor. - Foto oleh SHAARI CHE MAT
Barisan penyampai dan artis yang terlibat dalam konsert Rock & Retro Sinar pada 27 September ini di Plaza Angsana, Johor Bahru, Johor. - Foto oleh SHAARI CHE MAT
Barisan penyampai dan artis yang terlibat dalam konsert Rock & Retro Sinar pada 27 September ini di Plaza Angsana, Johor Bahru, Johor. - Foto oleh SHAARI CHE MAT

KUALA LUMPUR: Penganjuran konsert percuma Rock & Retro (R&R) Sinar bukan satu strategi stesen radio Sinar FM untuk melonjakkan semula kedudukannya yang kini berada di tempat kedua radio berbahasa Malaysia.

Sebaliknya, Pengurus Rancangannya Rostam Zulkarnain Said (Pak Tam) berkata, konsert yang akan berlangsung pada 29 September depan di Padang A, Plaza Angsana, Johor Bahru itu sebagai usaha mendekati para pendengar stesen radio itu.

"Penganjuran konsert ini antara lain untuk mendekati pendengar yang sering bertanya mengenai konsert anjuran kami sejak ia diadakan kali terakhir pada 2009," katanya.

Pak Tam berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengumuman konsert berkenaan di sebuah hotel di sini, petang Rabu.

Konsert yang dijangka berlangsung selama tiga jam itu menampilkan barisan artis lama dan baru iaitu Datuk David Arumugam, Ramli Sarip, penyanyi Indonesia Endang S. Taurina, Wann, Azri (Kilauan Emas 2), Ezad Lazim dan kumpulan Jambu manakala Shah (Slam) sebagai pengarah muzik.

Ia turut dimeriahkan barisan penyampai termasuk Salih Yaccob, Raja Azura, Khairil Rashid, Abby Fana, Najman, Zaidi, Jamal Jamaluddin dan Feeya.

Mengenai lokasi konsert yang diadakan buat kali ketiga itu, Pak Tam berkata, Johor Bahru menjadi pilihan kerana permintaan yang tinggi daripada pendengar zon selatan dan Singapura.

"Sebelum ini kami adakan konsert di Pulau Pinang bagi zon utara dan Petaling Jaya (tengah) pada 2009. Untuk kali ini, kami mahu mendekati pendengar dari selatan tanah air pula termasuk di Singapura yang sering kerap bertanya bila kami akan turun ke tempat mereka.

"Apabila diadakan di Johor Bahru, maka lebih mudah mereka (orang Singapura) menghadirinya nanti," katanya yang menyasarkan kehadiran kira-kira 10,000 orang penonton.

Dalam perkembangan lain, stesen radio itu akan memberikan empat tiket VIP kepada pendengar yang menyertai peraduan 'Baris Pertama di Sinar'.

Peraduan yang bermula sejak 3 hingga 28 September ini memerlukan peserta menyatakan baris pertama sesebuah lagu berdasarkan muzik pengenalan (intro) yang diputarkan.

Peserta peraduan yang meneka dengan tepat berpeluang memenangi RM300.

Wang tambahan RM1,000 akan diberikan kepada peserta ketika waktu bonus peraduan berlangsung.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain