suria

24 Peserta Terbaik Berentap Di 'MasterChef Malaysia 2'

24 peserta Masterchef Malaysia musim kedua bakal merebut gelaran juara.
24 peserta Masterchef Malaysia musim kedua bakal merebut gelaran juara.
24 peserta Masterchef Malaysia musim kedua bakal merebut gelaran juara.

PETALING JAYA: Seramai 24 peserta dipilih untuk berentap menunjukkan bakat kehebatan memasak masing-masing menerusi program realiti masakan popular, Masterchef Malaysia yang kembali untuk musim kedua.

Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, pilihan peserta yang merupakan dari pelbagai latar belakang dan kepakaran itu dibuat berdasarkan kualiti dan potensi yang baik untuk pergi jauh dalam bidang seni kulinari.

"Selepas program ini mencetus fenomena pada musim pertama, pihak kami dengan bangganya menerbitkan kembali MasterChef Malaysia 2 di mana ia bukan sehaja mengangkat seni kulinari Malaysia, tetapi turut meliputi bahan dan peralatan yang digunakan untuk persediaannya.

"Kami juga turut menerapkan elemen Malaysia pada set studio yang digunakan untuk membangkitkan semangat para peserta menyediakan hidangan yang terbaik.

"Jujurnya, saya amat teruja dan tidak sabar untuk melihat kesungguhan, kreativiti dan daya saing para peserta musim ini untuk beraksi di dapur," katanya dalam sebuah kenyataan akhbar yang diberikan kepada mStar Online.

Peserta-peserta itu dipilih menerusi sesi ujibakat yang telah pun bersiaran pada 8 September lalu (Astro Ria) dengan mengharungi beberapa rintangan dan penyingkiran sebelum berjaya meneruskan perjalanan mereka dalam program ini.

Gabungan tiga juri daripada musim lalu iaitu Chef Johari Edrus atau lebih dikenali sebagai Papa Joe, Chef Zubir Md Zain dan Chef Adu Amran masih lagi dikekalkan bagi musim kali ini.

"Tiga orang tukang masak yang berpengalaman dalam penyedian makanan di peringkat tempatan dan antarabangsa ini bakal menilai masakan para peserta sepanjang musim ini.

"Saya percaya ketiga-tiga juri ini mampu menilai makanan yang terbaik hasil daripada masakan para peserta," tambah Raqim.

Bertemakan 'Dapur Malaysia ke Persada Dunia', MasterChef Malaysia 2 lebih menekankan mengenai penyediaan masakan tempatan dan memartabatkan makanan Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Pada masa yang sama, program realiti masakan ini masih memberikan inspirasi dan peluang kepada para peserta mencungkil bakat mereka dalam bidang masakan dan dilatih oleh mereka yang berpengalaman dalam dunia masakan.

Juara MasterChef Malaysia 2 bakal memenangi wang tunai RM100,000 dan berpeluang untuk tampil di pelbagai program yang akan diaturkan pihak Astro kelak.

Program ini disiarkan pada setiap hari Sabtu hingga Khamis, pukul 9 malam hanya di Astro Ria (Saluran 104).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain