suria

Fizz Fairuz Hanya Bergurau Tidak Puas Hati Poster 'Hantu Kapcai'

Fizz Fairuz
Fizz Fairuz
Fizz Fairuz

PETALING JAYA: Aktor Fizz Fairuz berkata dakwaan kononnya dia tidak berpuas hati kerana wajahnya tidak dipaparkan pada poster filem terbaru Hantu Kapcai hanyalah gurauan kosong yang disalah tafsirkan oleh pihak tertentu.

Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin, 33, berkata, dia tidak mempunyai sebarang niat ketika mengeluarkan kenyataan kononnya enggan terlibat dalam promosi filem terbitan Showbiz Productions itu kerana perkara tersebut.

“Dakwaan kononnya saya tidak berpuas hati kerana muka saya tidak ada dalam poster filem Hantu Kapcai adalah mengarut dan gurauan semata-mata.

“Saya tidak bermaksud apa-apa ketika mengeluarkan kenyataan kononnya saya tidak mahu mempromosikan filem itu kerana wajah tidak dipaparkan pada poster filem tersebut,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Selasa.

Pelakon tersebut diminta mengulas perkara itu selepas dia dikatakan meluahkan rasa tidak puas hati berkenaan kepada pihak-pihak tertentu.

Fizz berkata, perkara itu tidak perlu timbul kerana sebagai pelakon profesional dia lebih mengutamakan komitmen lakonan berbanding hal remeh-temeh berkaitan isu wajah di poster filem.

“Ini bukan kali pertama saya berlakon di bawah produksi KRU. Sudah berapa banyak filem kami bekerjasama tidak ada pun wajah saya dalam poster-poster filem sebelum ini.

“Jangan jadikan hal remeh-temeh ini sebagai isu kerana industri filem kita bukannya besar mana, pusing-pusing pun di situ juga,” katanya.

Mengenai projek terbaru, Fizz berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul Cinta Kau dan Aku untuk tayangan RTM.

Kekasih kepada aktres Almy Nadia ini juga bakal terlibat dalam penggambaran filem terbitan KRU Studios dan Kabir Bhatia tidak lama lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain