Syafie tidak kisah sekiranya pelakon baru yang menendangnya ketika penggambaran drama Neraka Abah baru-baru ini. PETALING JAYA: Pelakon Syafie Naswip memberitahu siku pada tangan kirinya yang disangka sekadar kecederaan biasa rupa-rupanya disahkan retak akibat hentakan pada akar pokok selepas ditendang kuat oleh seorang aktor remaja.Syafie, 20, berkata, doktor yang merawatnya memberitahu perkara selepas imbasan sinar X dilakukan baru-baru ini. "Sebelum ini ia hanya bengkak dan lebam teruk sahaja tetapi selepas beberapa hari kesakitannya semakin bertambah. Apabila saya pergi ke hospital, doktor memberitahu saya mengalami keretakan pada bahagian siku," ujarnya kepada mStar Online.Bagaimanapun kata Syafie, doktor memaklumkan kecederaannya itu tidak kritikal dan hanya perlu dibalut dan diberikan ubat.Syafie mengalami kecederaan tersebut ketika penggambaran telefilem “Neraka Abah” akibat ditendang kuat oleh seorang pelakon ketika penggambaran berlangsung.Dalam pada itu, Syafie memberitahu pelakon remaja berkenaan masih belum memohon maaf kepadanya berhubung insiden itu dan dia mengambil pendekatan untuk tidak memanjangkan perkara tersebut.Syafie berkata dia akan lebih berhati-hati pada masa akan datang agar kejadian serupa tidak berulang kembali."Sehingga sekarang dia masih belum meminta maaf tetapi saya tidak kisah kerana tidak mahu membesar-besarkan perkara itu," katanya yang enggan mendedahkan identiti pelakon tersebut.Telefilem arahan Heykal Hanifah itu turut dibintangi Amyza Aznan, Azhan Rani, Zarina Zainoordin (AF2) dan adik Raikal.Ia bakal ditayangkan pada 17 Oktober depan di TV9.