Adiwati ZainuddinPETALING JAYA: Hampir 100 penari termasuk penyampai radio Suria FM bakal memenuhi ruang pentas untuk menari bersama kumpulan popular era 90-am, Nico, pada acara pembukaan Konsert Kemuncak Suria FM yang akan berlangsung pada Sabtu ini di Presint 3, Dataran Putrajaya.Ketua Bahagian Program Suria FM, Adiwati Zainuddin berkata, tarian ala 'flashmob' dengan para deejay itu adalah yang pertama dilakukan oleh pihak stesen radio tersebut sepanjang empat tahun penganjuran konsert diadakan. "Jika selalunya para peminat hanya mendengar suara para penyampai berceloteh di radio, kini mereka dihiburkan dengan tarian pula.""Ia sebuah persembahan yang sangat menarik, tambahan pula kumpulan Nico berkongsi idea untuk menjayakan persembahan pembukaan."Bayangkan mereka perlu membuat persiapan daripada segi latihan menari beberapa minggu lebih awal," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.Tambah Adiwati, pihaknya juga akan membawa masuk beberapa buah kereta mewah seperti Ferrari pada persembahan itu untuk memberi suntikan kelainan pada acara tahunan itu.Selain Nico, antara artis yang bakal memeriahkan konsert berkenaan adalah Stacy, Mojo, Sixth Sense, Jimmy Palikat, One Nation Emcee, Alyah, Shila Amzah, Ella dan Faizal Tahir.Ia akan dihoskan oleh lapan orang penyampai stesen radio tersebut iaitu Linda Onn, Tyzo, Halim Othman, Nabil Ahmad, Kenchana Devi, Reza Mohamed, Bob Ringgo dan DJ Lin.Dalam pada itu, kejayaan mengumpulkan lebih daripada 35,000 penonton pada konsert lalu membuatkan pihak stesen radio itu menyasarkan lebih daripada 40,000 orang yang akan menyaksikan konsert berkenaan."Pihak kami juga telah menyediakan kawasan khas bagi penonton yang ingin berada lebih dekat dengan penyanyi kesayangan mereka dan hampir 1,000 pas telah pun diedarkan setakat ini," ujar Adiwati.Selain konsert kemuncak, karnival yang bermula dari pukul 12 tengah hari itu akan menyediakan pelbagai aktiviti dan aneka gerai jualan.Malah satu pertandingan karaoke bakal diadakan pada pukul 3 petang untuk hiburan seisi keluarga.Bermula pukul 5 hingga 7 petang pula, konsert mini akan diadakan dengan membariskan bakat-bakat muda yang semakin menempah nama dalam industri muzik seperti Drama Band, Arrora Salwa, Amir Jahari dan Klangit.