suria

'Tatu Itu Hanya Hiasan' - Amanda Imani

Amanda Imani. Foto NOARFIFI EHSAN
Amanda Imani. Foto NOARFIFI EHSAN
Amanda Imani. Foto NOARFIFI EHSAN

PETALING JAYA: Penyanyi Amanda Imani menjelaskan lakaran tatu yang terdapat pada kaki kirinya hanyalah sekadar pelekat tatu hiasan yang tidak kekal.

Amanda, 21, berkata, ia merupakan pelekat yang dipakainya sebagai aksesori ketika mengadakan persembahan pentas dan boleh dibuang pada bila-bila masa dan ia bukanlah tatu kekal seperti mana yang diperkatakan.

"Kelakar rasanya apabila orang perhatikan saya sampai ke buku lali. Tetapi jujur saya katakan itu bukan tatu sebenar.

"Ia merupakan hadiah pemberian rakan saya dan hanyalah pelekat biasa yang kelihatan seperti tatu.

"Saya harap tiada yang ambil peduli tentang gosip remeh itu," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.

Amanda diminta mengulas laporan menerusi ruangan pojok sebuah akhbar pada Ahad lalu yang mempersoalkan lakaran tatu pada kakinya.

Sementara itu, bercerita mengenai perkembangan terbaharu, Amanda bakal mengarah sendiri klip video lagunya iaitu, Fobia Cinta buat pertama kali.

Walaupun tidak berpengalaman di bidang pengarahan, Amanda menganggap ia sebagai satu cabaran untuk melihat sejauh manakah kemampuannya di bidang itu.

"Sebab itu saya mengarah klip video sendiri. Sama ada ia menjadi atau tidak, klip video itu adalah lagu saya.

"Bagaimanapun saya tidak melakukan sesuatu bidang dengan pengetahuan yang kosong. Sebaliknya, sejak dua tahun lalu, saya mula mengambil kesempatan untuk belajar hal-hal di belakang tabir agar skop kerjaya saya lebih meluas," tuturnya.

Tambah penyanyi seksi itu, andai kata klip video itu berjaya mendapat perhatian ramai, dia tidak teragak-agak untuk mengembangkan bakatnya itu dengan mengarahkan klip video penyanyi lain pula.

"Itu semua masih dalam perancangan. Insya-Allah, jika bakat bidang pengarahan klip video disukai ramai, apa salahnya untuk cuba mengarah klip video penyanyi lain pula bukan?" katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain