Azan memberitahu dia gemar mengenakan selendang sebagai aksesori dan kopiah yang juga sunnah Rasulullah S.A.W.KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan Al Mawlid iaitu Azan Addin Abdul Wahab yang pernah menganggotai kumpulan Ruffedge mengakui masih gemar berfesyen walaupun telah berhijrah ke arah lebih baik.Azan bagaimanapun berkata, fesyen yang digayakan kini lebih kepada keislaman dan mengikut sunnah Rasulullah S.A.W. Dia juga selesa dengan imej itu. "Sebelum ini saya tidak pernah tahu bahawa selendang yang diletakkan di atas bahu adalah kegemaran Rasulullah dan sekarang ia menjadi aksesori yang sering saya gayakan bersama kopiah putih sama ada dengan jubah mahupun pakaian biasa," ujarnya kepada mStar Online.Tambah Azan, dia tidak perlu malu dengan fesyennya kini kerana ia masih nampak bergaya dan sopan selain memberi banyak manfaat kepadanya."Sebelum ini dah puas dengan pelbagai fesyen 'hip hop' untuk benar-benar menzahirkan siapa diri kita dan muzik yang dibawa. Jadi sekarang tiada salah untuk saya berimej mengikut kehendak agama saya."Malah perkara yang saya perasan adalah apabila bersiar-siar dengan keluarga dan ada peminat wanita yang ingin bergambar dengan saya mereka membatasi diri kerana kopiah dan selendang yang saya gunakan."Ia sekali gus menunjukkan rasa hormat kita pada orang lain dan pada masa sama mereka menghormati dengan apa yang kita pakai," katanya.Dalam pada itu, Azan memberitahu dia sangat tenang dengan kehidupannya kini dan masih dalam proses mempelajari ilmu agama dengan lebih mendalam.Malah dia dan rakan-rakannya cukup terharu apabila dapat belajar ilmu agama dengan ustaz yang berpengalaman dan mampu membimbing mereka dengan baik."Mencari ilmu untuk kebaikan itu satu perkara dan beradab dengan ilmu yang diterima juga adalah perkara berbeza. Itu adalah perkara yang sedang saya pelajari ketika ini."Alhamdulillahlah dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan kehidupan kini semakin tenang," katanya.Tambah Azan, dia sangat bersyukur telah diberi peluang dan kesempatan oleh Allah S.W.T. untuk memperbaiki diri ke jalan yang lebih baik."Suatu ketika saya seorang manusia yang degil dan tidak pernah belajar untuk berserah tentang apa yang pernah berlaku kepada diri saya."Namun Alhamdulillahlah saya tersedar dan diberi peluang untuk memperbaiki diri," katanya.Sementara itu, Azan memberitahu album pertama kumpulan mereka berjudul Al Mawlid diharap yang berkonsepkan marhaban dapat diterima oleh para peminatnya.Ia dihasilkan bertujuan menyemai rasa cinta masyarakat kepada Rasulullah S.A.W."Lagu-lagu dalam album ini berkisar mengenai kecintaan kami dan umat Islam terhadap Rasulullah yang keperibadian baginda sangat dikagumi," ujarnya.Selain Azan, Al Mawlid dianggotai oleh Amer (Ruffedge), Zaf (V.E.), Pot Amer (Innuendo), Lah Ahmad (V.E), Adib (Fabulous Cats) dan Ustaz Khyrel (Marjan).Album berkenaan memuatkan lapan buah lagu iaitu Intro: Bacaan Al Quran dan Selawat, Mahalul Qiyam, Cahaya Seluruh Alam, Tholama, Menuju Ke Madinah, Doa Dari Mama (Interlude), Ingin Bersama Mu dan Cahaya Seluruh Alam (Minus One).