Baggio (duduk) ketika diziarahi rakan artis Ali (belakang) dan Lola XPDC pada minggu lalu.PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Baggio (Damasutra) yang menghidap demam denggi nyaris kehilangan nyawa apabila klip saluran cecair intravena yang dicucuk ke tangannya tercabut tanpa disedari sehingga mengakibatkan pendarahan serius.Baggio atau nama sebenarnya Bahagia Daharun, 41, berkata, insiden itu berlaku ketika dia tidak sedarkan diri akibat tindak balas ubat yang dimakannya ketika dirawat di Hospital Pakar Ampang Puteri dekat sini kira-kira dua minggu lalu. “Insiden itu terjadi pada malam ketiga saya ditahan di Hospital Pakar Ampang Puteri. Selepas memakan ubat batuk, saya berasa sangat mengantuk dan tidur lena sehingga saya tidak sedar klip saluran intravena yang dicucuk ke tangan saya tercabut.“Malangnya, keadaan itu turut tidak disedari isteri saya Nelly yang menemani saya, sehingga darah mengalir keluar dengan banyak dan mengancam nyawa saya,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Selasa.Penyanyi yang popular dengan lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi itu menghidap demam denggi pada awal bulan ini dan ditahan di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang selama seminggu selepas tiga hari mengalami demam.Selain Baggio, anak lelakinya Danial Sufi, 5, turut dimasukkan ke hospital yang sama kerana penyakit berkenaan.Kata Baggio, menurut cerita isterinya, semasa kejadian itu pihak hospital terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan bagi menstabilkan semula keadaan dirinya yang berada dalam kritikal.“Mujurlah, isteri dan petugas hospital bertindak cepat untuk menyelamatkan keadaan. Kalau tidak, mungkin saya sudah tiada lagi,” katanya.Berkongsi pengalamannya yang pertama kali mengalami demam yang teruk, Baggio berkata, dia hampir berputus asa apabila bacaan platelet darahnya menurun secara mendadak selepas tiga hari ditahan di wad.“Saya masuk wad kira-kira dua minggu lalu. Selepas mengalami demam selama tiga hari, saya pergi buat pemeriksaan darah. Bacaan platelet darah saya adalah 79 bilion per Liter (bpL) iaitu separuh daripada bacaan normal 150 – 450 bpL bagi orang sihat.“Bacaan platelet itu turun dan naik sepanjang seminggu sehingga sampai ke satu tahap ia menurun kepada 10 bpL. Ketika itu, timbul juga kebimbangan mengenai sejauh mana peluang saya untuk selamat.“Dalam keadaan reda, saya hanya mampu berdoa agar dipanjangkan umur dan dapat pulih kembali,” kongsinya.Baggio yang kini masih bercuti di rumah berkata, pengalaman terkena demam denggi itu adalah ujian Tuhan untuk membersihkan diri dan dosa-dosanya selama ini.“Saya tidak pernah sakit teruk. Apabila terkena demam denggi dan insiden hampir kehilangan nyawa, saya anggap ia adalah pembersihan diri atas segala dosa yang saya lakukan selama ini.“Saya bersyukur kesihatan beransur sembuh. Buat masa ini, saya masih berehat sehingga hujung minggu ini selepas keluar dari hospital pada Khamis lalu,” kata pelakon drama bersiri Metro Skuad ini.