Raja AzuraKUALA LUMPUR: Penyampai radio Sinar FM dan pelakon Raja Azura tidak akan mencari pengganti di kalangan suami orang kerana prinsipnya enggan hidup bermadu.Raja Azura, 40, berkata, walaupun dalam agama Islam tidak menghalang kehidupan bermadu namun perkara itu haruslah hadir dengan keikhlasan hati kerana ia bukanlah sesuatu yang mudah. "Terus terang jika ingin mencari pengganti, saya tidak mahu cari di kalangan mereka yang sudah berkahwin dan saya tidak mahu hidup bermadu."Ia telah menjadi prinsip hidup saya dan rasanya saya bukan insan yang terpilih untuk hidup berpoligami," ujarnya ketika ditemui pada pelancaran program bual bicara Primadona di Astro, di sini pada Selasa.Selain Raja Azura, program tersebut turut menampilkan Erra Fazira, Ziela Jalil dan Rozita Che Wan sebagai pengacara gandingan.Ia akan menemui penonton bermula 2 November depan setiap hari Jumaat pukul 9 malam menerusi Astro Prima.Dalam pada itu, Raja Azura tidak menafikan ada lelaki yang cuba mendekatinya sejak dia berpisah dengan Adzmin Osman. Bagaimanapun dia lebih selesa dengan kehidupan solonya kini.Malah tumpuannya adalah kepada anak-anak selain kerjaya sebagai penyampai radio Sinar FM.Raja Azura dan Adzmin berpisah pada 28 September 2010 selepas hampir sepuluh tahun mendirikan rumah tangga.Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Megat Muhammad Raziq,10, Megat Luqman Hakim,9, dan Puteri Mkia Maizurah, 6.Adzmin merupakan anak kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Arof.Sementara itu, Raja Azura memberitahu gembira dapat bekerjasama dan berkongsi pentas bersama tiga lagi rakan artis dalam Primadona.Walaupun terkenal dengan kepetahan sebagai penyampai radio dan pengacara televisyen, itu tidak bermakna dia akan menguasai program itu."Memang saya banyak bercakap tetapi untuk Primadona kita banyak melakukan latihan sebelum membuat rakaman supaya semua pengacara tidak “tenggelam” di antara satu sama lain,” katanya.