suria

Nabil Zamanhuri Mahu Bergelar Pengarah Filem

Nabil Zamanhuri
Nabil Zamanhuri
Nabil Zamanhuri

PETALING JAYA: Penyanyi Nabil Zamanhuri berhasrat ingin mengembangkan kariernya di bidang pengarahan filem selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Filem dan Animasi dari Universiti Multimedia pada 9 Oktober lalu.

Nabil, 25, berkata, sebagai permulaan, dia ingin mencari pengalaman di mana-mana syarikat antarabangsa yang menawarkan kerja pada bahagian pasca produksi sebagai persiapan awal sebelum bergelar seorang pengarah.

"Sejak dari dulu lagi saya bercita-cita ingin menjadi seorang pengarah filem yang berjaya. Saya suka menyampaikan sebuah cerita menerusi visual agar ia boleh ditonton oleh semua orang.

"Bagaimanapun, saya tak mahu mengarah terus tanpa pengalaman yang cukup. Biarlah ilmu mengenai kerja-kerja belakang tabir dikuasai sepenuhnya terlebih dahulu. Saya enggan menjadi seorang pengarah yang kosong dengan pengalaman," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

Tambah Nabil, sebagai permulaan, dia bersama rakan-rakannya telah menyertai pertandingan Projek Filem 48 Jam (KL48HFP) dan filem arahannya berjudul Ganggu diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Filem Pilihan Penonton pada acara kemuncaknya yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur, Ahad lalu.

"Walaupun tidak memenangi hadiah utama, saya tak kisah, sekurang-kurangnya filem tersebut menjadi pilihan penonton.

"Saya anggap Ganggu boleh dikira memiliki seni serta nilai-nilai komersial dan kedua-duanya amat penting jika ingin berjaya dalam industri perfileman tempatan.

"Insya-Allah, akan ada lagi filem-filem pendek bakal dihasilkan menerusi pertandingan-pertandingan filem pendek yang dianjurkan," ujarnya.

Sementara itu, mengenai perkembangan karier nyanyiannya, Nabil berkata sudah hampir setahun dia tidak mengeluarkan sebarang produk lagu baru.

Ini kerana, pada tahun lalu, terdapat beberapa lagu yang dihantar ke stesen-stesen radio, namun ia tidak dimainkan sehingga menyebabkan dia berehat seketika dengan memberi tumpuan di bidang pengarahan.

"Sebenarnya, saya ada banyak koleksi lagu-lagu yang dihasilkan, cuma belum ada lagi lagu yang saya rasa boleh menaikkan nama saya semula.

"Tambahan pula apabila mendapati stesen-stesen radio tidak memainkan lagu-lagu baru saya, jadi saya membuat keputusan untuk menumpukan kerja-kerja perfileman. Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak," tuturnya.

Bagaimanapun kata Nabil lagi, dia tidak akan menghasilkan sesebuah lagu mengikut trend peredaran genre muzik sebaliknya lebih kepada kualiti lagu mengikut muzik yang diminatinya.

Dalam pada itu, Nabil berharap agar peminat-peminatnya tidak kecewa dengan pembabitannya di bidang perfileman kerana kerjaya nyanyiannya juga tetap diutamakan.

"Sekarang ini, sambil saya mempelajari selok-belok dunia pengarahan, saya tetap tidak akan meninggalkan bidang muzik. Insya-Allah, pada masa hadapan, saya ingin menubuhkan sebuah produksi filem dan muzik," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain