suria

12 Artis Ikut Didie Alias Makan Angin

Didie bakal membawa 12 rakan artis yang rapat dengannya untuk menceriakan program percutian Jom Melancong Bersama Didie Alias bermula Disember depan. - Foto oleh AHMAD IZZRAFIQ ALIAS
Didie bakal membawa 12 rakan artis yang rapat dengannya untuk menceriakan program percutian Jom Melancong Bersama Didie Alias bermula Disember depan. - Foto oleh AHMAD IZZRAFIQ ALIAS
Didie bakal membawa 12 rakan artis yang rapat dengannya untuk menceriakan program percutian Jom Melancong Bersama Didie Alias bermula Disember depan. - Foto oleh AHMAD IZZRAFIQ ALIAS

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak Didie Alias akan membawa 12 rakan artis yang ceria, bertenaga dan peramah mengikuti program Jom Melancong Bersama Didie Alias ke 12 destinasi percutian terpilih bermula Disember depan.

Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd Ali, 39, berkata, pemilihan rakan artis antaranya Erra Fazira, Sharifah Shahora, Scha Al Yahya, Awal Ashaari, Elfira Loy, Black, Mawi, Johan Asa’ri, Enot, Along (Raja Lawak) dan Dafi itu adalah berdasarkan keserasian dan hubungan rapat mereka dengannya.

Didie yang dilantik sebagai duta program pelancongan anjuran Arlief Event & Management (AEM) itu berkata, kehadiran seorang atau dua artis yang mengikutinya pada sesebuah destinasi mampu memeriahkan program itu selain memberikan kelainan daripada program-program percutian lain.

“Saya bersyukur kerana peluang dan kepercayaan diberikan AEM untuk menjadi wakil program pelancongan mereka yang akan bermula pada hujung tahun ini.

“Memandangkan, penganjur turut memberikan peluang untuk membawa rakan artis lain, jadi saya memang pilih rakan-rakan artis yang rapat dan saya kenali mengenai sikap mereka.

“Mungkin pada setiap destinasi nanti, saya akan membawa seorang atau dua artis untuk turut serta bagi memeriahkan program itu,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelantikannya sebagai duta program Jom Melancong Bersama Didie Alias anjuran AEM di Menara KL di sini, petang Khamis.

Program pelancongan terbabit menawarkan 12 lokasi percutian di dalam dan luar negara antaranya Pulau Perhentian, Terengganu, Pulau Langkawi, Kedah, Beijing, China, Kaherah, Mesir dan Seoul, Korea Selatan.

Ia bakal bermula pada Disember depan menerusi percutian pertama atas kapal peranginan ke Phuket dan Krabi, Thailand.

Didie dijangka membawa Black dan Enot untuk menyertai program pertama itu.

Mengenai pemilihannya pada program percutian tersebut Didie berkata, ia adalah tawaran yang tidak mampu ditolak kerana dia sememangnya gemar melancong bersama keluarga tetapi jarang mempunyai waktu terluang untuk merancang percutian.

“Kebetulan, saya seorang yang suka melancong tetapi jarang mempunyai waktu terluang yang panjang untuk bercuti bersama anak-anak dan suami.

“Pelantikan ini adalah peluang keemasan untuk saya membawa keluarga sambil saya bekerja menceriakan para peserta program,” katanya.

Dalam pada itu, pengasas AEM, Muhamad Alif Haziq Azman berkata, Didie yang merupakan kenalan lama ibunya adalah seorang artis yang peramah, ceria dan aktif.

Beritahunya, karakter itu akan menimbulkan suasana ceria kepada para peserta ketika delegasi melawat tempat-tempat menarik dan melakukan pelbagai aktiviti bersama.

“Sebelum ini, kita sudah membawa Awie (Wings) bercuti bersama peserta di Beijing dan Mongolia. Pada kali ini, kita melihat Didie sebagai calon paling tepat untuk program percutian terbaharu kami,” katanya.

Selepas percutian atas kapal peranginan, Didie akan menyertai percutian selama 6 hari 5 malam itu ke Beijing, China pada 25 hingga 30 Januari depan dan diikuti Kaherah, Mesir pada 21 hingga 26 Februari 2013.

Untuk maklumat lanjut mengenai pakej dan aktiviti, layari www.arlief.com atau hubungi 03-61428072.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain