kumpulan Jinbara menghiburkan penonton pada Konsert Akhir ERA Piala Malaysia 2012. Foto M. Azhar ArifSHAH ALAM: Seramai 8000 penonton menyaksikan Konsert Akhir ERA Piala Malaysia 2012 yang berlangsung di perkarangan Stadium Shah Alam, dekat sini, petang Sabtu.Konsert yang dianjurkan oleh stesen radio ERA fm dan Astro Arena itu diadakan bersempena dengan perlawanan bola sepak Piala Malaysia 2012 melibatkan antara pasukan Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berlangsung pada sebelah malam, pukul 8.30 malam. Pengurus Rancangan ERA fm, Nazri Noran berkata, ia merupakan kerjasama yang pertama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai penaja utama dan penyiar radio rasmi bagi perlawanan itu."Tujuan konsert sebegini dianjurkan adalah untuk meraikan pasukan-pasukan yang akan beraksi pada perlawanan tersebut dan satu benda baru buat pihak kami kerana pertama kali ERA fm menjadi penaja utama."Sekurang-kurangnya, penonton yang datang seawal 3 petang bagi menyaksikan perlawanan itu dapat dihiburkan dengan barisan artis-artis yang kami bawakan sebelum liga bermula," katanya yang ditemui pada Konsert Akhir ERA Piala Malaysia 2012.Tambah Nazri, pihaknya juga terkejut apabila hampir kesemua penonton terdiri daripada penyokong pasukan Kelantan memenuhi ruangan perkarangan stadium tersebut."Ternyata sukan dan muzik menyediakan platform yang dapat menyatukan masyarakat Malaysia."InsyaAllah, acara sebegini akan kami jadikan sebagai acara tahunan dan tidak mustahil jika pihak kami mempromosikan sukan-sukan popular lain di Malaysia pada masa akan datang," ujar NazriKonsert yang menampilkan penyanyi Stacy, Black, Modread, Jinbara, Bunkface dan Kugiran Tepi Pantai sedikit sebanyak telah menyemarakkan lagi semangat kesukanan penyokong kedua-dua buah pasukan.Dalam pada itu, sebelum konsert bermula, perlawanan persahabatan futsal telah diadakan melibatkan seramai sepuluh orang penonton terpilih termasuklah artis-artis jemputan dan para penyampai ERA.Selain itu, stesen radio tersebut telah membuat peraduan dalam talian bagi memilih enam kanak-kanak untuk mengiringi para pemain sewaktu perarakan masuk ke stadium menerusi laman www.era.fm.