Azhar menjelaskan sebagai seorang selebriti dia perlu bijak menyimpan hal-hal peribadi mengenai rumah tangganya supaya ia tidak menjadi permainan di media massa.PETALING JAYA: Pelakon Azhar Sulaiman lebih senang tidak berkongsi mengenai kisah rumah tangganya sama ada yang baik atau pun buruk sebagai cara menjaga keharmonian perkahwinan yang dibina dengan Chempaka Emalin Pahamin sejak 16 tahun lalu.Azhar, 41, berkata, sebagai seorang selebriti dia perlu bijak menyimpan hal-hal peribadi mengenai rumah tangganya supaya ia tidak menjadi permainan di media massa. "Rumah tangga siapa yang tiada masalah dan begitu juga saya tetapi sebagai seorang selebriti kita harus bijak menyimpan cerita terutama yang buruk daripada diketahui umum."Apa juga perihal di rumah jangan dibawa keluar dan bercerita kepada orang lain kerana ia akan mengundang masalah lain," ujarnya kepada mStar Online.Hasil perkahwinan Azhar dan Chempaka mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Kasih Leia Ixora, 13, serta si kembar, Andika Rees Pahamin dan Kasih Iris Leona yang masing-masing berusia 10 tahun.Dalam pada itu, Azhar berkata, ada segelintir artis yang gemar bercerita mengenai perihal rumah tangga kepada krew produksi atau pun jurusolek yang sebenarnya mengundang padah kepada mereka sendiri.Kata Azhar, walaupun mereka tidak mahu kisah peribadi diketahui umum tetapi secara dasarnya mereka sendiri telah menyebarkan perkara tersebut kepada pihak ketiga."Saya pernah jumpa segelintir artis yang kononnya tidak mahu pihak media menghidu kisah rumah tangga mereka yang bermasalah tetapi dia bercerita dengan orang sekeliling semasa di set penggambaran."Daripada situ cerita ini akan tersebar sehingga ia dapat dihidu oleh pihak media. Bagi saya mereka tidak boleh menyalahkan wartawan yang mahu menulis cerita tersebut kerana golongan berkenaan hanya menjalankan tugas," ujarnya.Sementara itu, Azhar bersyukur apabila khidmatnya sebagai seorang pelakon masih diperlukan dan memberitahu akan terus berlakon walaupun telah mempunyai pekerjaan tetap dalam bidang seni bina.Malah kata Azhar, rezekinya dalam bidang lakonan pada tahun ini sangat memberangsangkan dengan pelbagai tawaran diterima."Tahun ini sangat baik untuk saya dan berharap 2013 akan menjanjikan perkara-perkara yang lebih teruja," katanya.Azhar bakal muncul dengan drama bersiri terbaru berjudul Persona Sukma arahan Hazali Ramli di samping pelakon seperti Ruzana Ibrahim, Julia Zigler, Erry Putra dan Amanda Misbun.Drama bersiri 26 episod itu terbitan Bright Networks Sdn. Bhd.Ia akan disiarkan bermula Sabtu dan Ahad ini pada setiap pukul 7 malam di TV1.