Ana enggan mengulas mengenai laporan kononnya dia dan Riz hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kajang untuk mengambil borang permohonan cerai baru-baru ini. PETALING JAYA: Pelakon Ana Dahlia tidak berasa bimbang dengan konflik rumah tangganya dengan Chef Riz kerana masalah itu mendapat sokongan daripada keluarga mertuanya iaitu Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan.Mengambil pendekatan untuk mendiamkan diri daripada memberi sebarang kenyataan, Ana atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar, 29, menjelaskan suaminya lebih mengetahui apa sebenarnya berlaku dalam rumah tangga mereka. "Saya bersyukur kerana dalam keadaan sekarang saya mendapat sokongan penuh daripada keluarga saya dan mertua terutama Papa (Chef Wan) yang sentiasa berada di belakang saya."Malah hubungan saya dengan Papa masih rapat dan sentiasa mendapatkan nasihat daripadanya."Dalam hal ini, Riz lebih mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dalam rumah tangga kami," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui semasa majlis pelancaran drama slot Akasia berjudul Cinta Itu Milikku di sini pada petang Isnin.Gosip terbaru mengenai perkahwinan Ana dengan anak lelaki chef tersohor, Chef Wan itu kembali diperkatakan apabila Ana didakwa kerap keluar bersama bekas teman lelakinya.Bagaimanapun pelakon itu menafikan tuduhan tersebut termasuklah kononnya dia berlaku curang.Ana sah bergelar isteri kepada Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Redzuawan, 31, pada 11 Disember 2011.Dalam pada itu, Ana enggan mengulas mengenai laporan kononnya dia dan Riz hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kajang untuk mengambil borang permohonan cerai.Menurut Ana, dia percaya cerita sebenar di sebalik gosip rumah tangga mereka akan dapat dihidu sendiri oleh pihak media suatu hari nanti."Saya tidak mahu mengulas mengenai perkara itu dan rasanya pihak media sendiri akan tahu sama ada perkara itu benar atau pun tidak," jelasnya.Bagaimanapun kata Ana, dia mengakui kesal apabila mengambil keputusan terburu-buru berkahwin dengan Riz selepas tiga bulan berkenalan tanpa berfikir panjang."Saya akui tempoh perkenalan kami singkat dan terlalu terburu-buru mengambil keputusan untuk berkahwin tetapi apa yang membuatkan saya bersetuju adalah kerana keluarganya cukup baik dengan saya," jelasnya.Sementara itu, Ana berkata, dia sudah bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan terhadap rumah tangganya yang dibina tidak sampai setahun itu.Dia juga yakin telah melakukan yang terbaik sebagai isteri namun masih menyimpan hasrat agar ia akan berakhir dengan baik."Saya mohon jangan menilai diri saya hanya dengan penyebaran cerita yang tidak benar kerana itu tidak akan membantu menyelesaikan masalah."Bagaimanapun saya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan namun saya berharap ia akan dapat diselesaikan dengan baik.Berikut adalah beberapa soalan yang diutarakan oleh pihak media kepada Ana mengenai kemelut rumah tangga yang sedang dihadapinya:1. Sejauh mana kebenaran kononnya rumah tangga Ana dan Riz dikatakan sedang bermasalah?Saya mengakui rumah tangga kami mempunyai masalah tetapi rasanya saya tidak perlu memberikan butiran mengenainya kerana ingin menjaga aib diri saya dan suami.2. Sejauh mana kebenaran Ana dikatakan curang?Saya tidak pernah mendekati mana-mana lelaki atau pun curang terhadap suami saya. Riz lebih mengetahui apa yang berlaku dalam rumah tangga kami.3. Benarkah Ana dan Riz ada ke mahkamah untuk mengambil borang permohonan cerai?Saya tiada komen mengenai perkara itu dan rasanya pihak media akan mengetahui sendiri sama ada cerita itu benar atau pun tidak.4. Apa kata bapa mertua Ana iaitu Chef Wan mengenai pergolakan rumah tangga anda berdua?Papa (Chef Wan) adalah seorang yang cukup bijak dan pemikirannya sangat tajam walaupun dia kadang-kadang agak lantang bersuara. Mengenai masalah kami berdua, saya boleh katakan Papa berada di belakang saya dalam menghadapi kemelut ini dan saya sangat bersyukur keluarga berada di sisi saya.5. Apakah status Ana dengan Riz buat masa ini? Masih suami isteri?Saya tiada komen mengenai perkara itu. Ia adalah peribadi.6. Ana sudah bersedia sekiranya masalah ini akan terbongkar kelak?Ya saya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan namun saya berharap ia akan dapat diselesaikan dengan baik.