Esma tidak menyalahkan pihak panggung menarik filem itu keluar daripada senarai tayangan kerana ia adalah perkara biasa dalam dunia perniagaan. PETALING JAYA: Pengarah dan pelakon, Esma Daniel tidak berasa kecewa apabila filem pertama arahannya berjudul Zaiton Ceritaku gagal mendapat sambutan dengan kutipan tidak sampai RM100,000.Esma berkata, filem berkenaan yang mula ditayangkan pada 1 November lalu hanya mampu bertahan selama seminggu di pawagam dan terpaksa ditamatkan selepas mendapat sambutan dingin daripada orang ramai. "Faktanya filem arahan saya itu gagal mendapat sambutan daripada penonton dan saya tidak menyalahkan pihak panggung menarik keluar ia daripada tayangan dalam tempoh seminggu kerana ia telah termaktub dalam peraturan Syarat Wajib Tayang (SWT)."Saya terpaksa mengakui hakikat itu kerana pada minggu pertama lagi Zaiton Ceritaku gagal mengutip angka yang memberangsangkan bagi membolehkan ia kekal untuk tayangan," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Rabu.Zaiton Ceritaku berkisar mengenai liku-liku kehidupan dilalui penyanyi Zaiton Sameon yang popular menerusi lagu Menaruh Harapan selepas ditimpa kemalangan yang turut meragut nyawa anak tunggalnya Irwan pada 21 Februari 1990.Ia memaparkan pahit getir kehidupannya yang berdepan trauma akibat kemalangan itu sehingga banyak pihak menganggapnya tidak siuman.Filem tersebut menelan belanja sebanyak RM1.1 juta.Esma turut menolak kegagalan Zaiton Ceritaku itu kerana terpaksa bersaing dengan filem antarabangsa seperti Skyfall 007 yang sedang ditayangkan sebaliknya ia berpunca daripada sokongan penonton."Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak akibat kegagalan filem ini kerana setiap penonton itu berhak membuat keputusan untuk menonton karya yang mereka suka,” katanya.Dalam pada itu, Esma berkata, faktor kekurangan promosi mungkin menjadi sebab ia gagal mendapat perhatian namun pihak penerbit telah melakukan yang terbaik bagi memastikan karya tu berjaya.Bagaimanapun kata Esma, dia bersyukur apabila maklum balas yang diterima selepas penonton menyaksikan filem itu cukup baik dan mereka berpuas hati dengan garapan yang dilakukan mengenai kisah hidup penyanyi terkenal itu."Sebagai pengarah saya gembira apabila penonton memberikan ulasan yang baik mengenai filem itu cuma barangkali ia tidak terjemah dalam bentuk kutipan," katanya.Sementara itu, Esma menjadikan kegagalan itu sebagai satu pengajaran untuk menjadikannya lebih cemerlang ketika berkarya pada masa akan datang.