suria

Seniman Kutip RM20,000 Untuk Bantu Artis Sakit

Zed Zaidi
Zed Zaidi
Zed Zaidi

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi berpuas hati apabila Tabung Prihatin Seniman berjaya mengumpul sebanyak RM20,000 pada majlis Seniman Prihatin Charity Gala di sini, Selasa lalu.

Zed berkata, acara yang bertujuan untuk membantu golongan artis yang sakit itu merupakan sebahagian daripada inisiatif persatuan bagi meningkatkan jumlah dana dalam tabung tersebut.

"Kalau diikutkan jumlah RM20,000 yang dapat dikumpulkan daripada majlis ini tidak memadai untuk membantu artis-artis yang sedang sakit.

"Kita tak mampu bantu semua dan sepenuhnya tetapi setidak-tidaknya kita cuba meringankan beban mereka menerusi inisiatif sebegini," katanya.

Zed berkata demikian ketika ditemui selepas majlis anjuran bersama Seniman dengan Festival Fesyen Islam (IFF) di Hotel J.W Marriot Bukit Bintang di sini, baru-baru ini.

Majlis minum petang yang menjual 46 buah meja itu turut diserikan dengan pertunjukan fesyen Islam ciptaan pereka tanah air, Singapura dan Indonesia.

Zed berkata, dia melihat penganjuran acara yang julung kali diadakan bersama IFF itu sebagai permulaan yang baik untuk kutipan dana pada masa akan datang.

"Kerjasama dengan IFF ini adalah percubaan pertama kami. Kutipan yang diperoleh daripada penjualan meja juga menunjukkan petanda yang baik sebagai permulaan.

"Kami harap pada tahun akan datang, kita akan dapat mengutip lebih banyak dana daripada kerjasama seperti ini," katanya.

Tambahnya, selain mengumpulkan dana bagi tabung yang ditubuhkan pada 4 Mac lalu, majlis itu adalah platform Seniman untuk mendidik dan mendekatkan artis pada fesyen Islam.

"Ini adalah cara Seniman untuk didik dan dedahkan kepada artis mengenai fesyen Islam dan menutup aurat.

"Ramai artis yang seksi dalam penampilan jadi melalui pembabitan dalam acara begini mereka perlu patuh kod berfesyen Muslimah.

"Secara tidak langsung ia dapat mendekatkan mereka kepada fesyen yang sopan dan menutup aurat," katanya.

Antara tetamu kehormat yang hadir adalah Toh Puan Bendahara Kedah, Datuk Nor Suzana dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengasas merangkap Pengerusi IFF Datuk Sri Raja Shah Rezza.

Majlis itu diserikan persembahan nyanyian oleh antaranya Liza Aziz dan Black bersama RJ.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain