suria

Ucop, Peserta 'Vokal Bukan Sekadar Rupa' Punyai Potensi

Tiga peserta lelaki yang berjaya ke pusingan seterusnya adalah Adlizan (dari kiri), Usop dan Henry. Gambar Ihsan TV3.
Tiga peserta lelaki yang berjaya ke pusingan seterusnya adalah Adlizan (dari kiri), Usop dan Henry. Gambar Ihsan TV3.
Tiga peserta lelaki yang berjaya ke pusingan seterusnya adalah Adlizan (dari kiri), Usop dan Henry. Gambar Ihsan TV3.

SHAH ALAM: Juri tetap program Vokal Bukan Sekadar Rupa, iaitu Datuk Hattan yakin salah seorang peserta pertandingan itu, Mohamad Yusof Ahmad atau Ucop mempunyai kualiti tinggi sebagai penyanyi.

Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Sahabuddin berkata, vokal Ucop yang mantap dilihat sebagai satu persaingan sengit kepada peserta lain dalam pertandingan tersebut yang sudah memasuki minggu ketiga.

"Ucop mempunyai potensi yang cukup tinggi untuk berjaya dalam industri nyanyian dan sepanjang 25 tahun saya bergelar penyanyi saya melihat Ucop mampu menjadi pelapis kepada penyanyi rock yang ada," ujarnya kepada mStar Online selepas ditemui pada konsert saringan minggu ketiga untuk peserta lelaki pertandingan itu di sini pada malam Rabu.

Bagaimanapun persembahan Ucop yang membawakan lagu nyanyian asal oleh Awie berjudul Ukiran Jiwa tidak mendapat sokongan daripada juri jemputan iaitu Faizal Tahir yang menyifatkan persembahan dan suara Ucop sebagai biasa.

Selain Hattan dan Faizal, pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS turut bertindak sebagai juri undangan pada program itu.

Ucop layak terpilih sebagai lima peserta lelaki terakhir selepas mendapat undian daripada Hattan dan Ramli selain menerima sokongan sebanyak 88 peratus daripada penonton menerusi Pesanan Khidmat Ringkas (SMS).

Dalam pada itu, tiga lagi peserta yang bertanding pada pusingan pertama kategori lelaki adalah Mohd Firdaus Materang membawakan lagu Mahakarya Cinta, Mohd Adlizan Baharuddin (Selalu Mengalah) dan Hendry Francis (I'll Never Fall in Love Again).

Henry dan Adlizan turut mara ke peringkat seterusnya bersama-sama Usop.

"Ketiga-tiga mereka mempunyai potensi besar untuk pergi jauh dalam pertandingan ini namun mereka perlu berusaha keras untuk menjadi penyanyi yang baik," ujarnya.

Pertandingan minggu keempat akan memperlihatkan empat lagi peserta lelaki akan membuat persembahan secara 'blind audition' bagi merebut dua lagi tempat kosong untuk mara ke peringkat seterusnya.

Terdahulu, Vokal Bukan Sekadar Rupa telah memilih lima peserta wanita iaitu Marlleynne Fane JL Paul, Farah Nadeera Zaini, Nasuha Azhari, Nur Fatin Nabila dan Nur Nabillah Yusof untuk bertanding dengan lima peserta lelaki lain.

Musim kedua Vokal Bukan Sekadar Rupa dihoskan oleh Faizal Ismail selain Hattan dan Ziana Zain bertindak sebagai juri tetap.

Manakala penyanyi Mas Idayu dan komposer terkenal, Azmeer sebagai penasihat vokal dan persembahan sementara Profesor Izzi Ali bertindak untuk memberi motivasi kepada peserta.

Musim kedua pertandingan ini masih mengekalkan format pemarkahan kepada dua bahagian iaitu 50 peratus daripada juri profesional dan selebihnya undian daripada penonton.

Juara Vokal Bukan Sekadar Rupa bakal membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM100,000 manakala naib juara akan menerima RM30,000.

Program itu bersiaran secara langsung setiap hari Rabu bermula pukul 9.30 malam hingga 10.30 malam di TV3.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain