Nazim OthmanPETALING JAYA: Pelakon kacak Nazim Othman menepis pendapat tidak boleh ditegur apabila lakonannya dalam Tribute Teater Tun Siti Hasmah dipertikaikan.Nazim atau nama sebenarnya Nushrul Alif Othman, 28, meluahkan rasa tidak puas hati itu menerusi Twitter miliknya pada Jumaat. Nazim berkata, dia bertindak demikian kerana terkilan terhadap wartawan sebuah portal hiburan yang tidak menegur mutu lakonannya ketika mereka bersemuka sebaliknya menulis menerusi portal tersebut.“Saya meluahkan perasaan di Twitter setelah membaca kritikan seorang wartawan portal berhubung lakonan saya dalam teater itu tetapi dia langsung tidak menegur apa-apa ketika kami berjumpa pada sesi pementasan itu baru-baru ini.“Bukan saya tidak boleh ditegur atau cepat melatah tetapi tindakannya mengkritik lakonan saya tanpa penjelasan terperinci membuatkan saya berasa terkilan,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Jumaat.Nazim berkata, dia bertindak memanjangkan perkara itu menerusi Twitter kerana bimbang penulisan pada portal itu mungkin akan menjejaskan sambutan penonton terhadap teater berkenaan.Tambah pelakon drama bersiri Kau Yang Terindah itu, dia berharap agar khalayak tidak tersalah anggap dan menyangka dia tidak boleh menerima teguran daripada pihak lain.“Tindakan dia mengkritik lakonan saya yang dianggap tidak berkarisma sebagai Dr Mahathir ketika muda dalam penulisan adalah perbuatan yang tidak matang kerana semasa berdepan dengannya, dia tidak pun memberi apa-apa kritikan.“Hakikatnya, saya cukup terbuka dengan apa juga kritikan dan teguran kerana saya bukan jenis orang yang ‘jatuh’ dengan kritikan.“Malah, sejak dulu lagi, saya bangun dan memperbaiki kesilapan diri daripada kritikan orang,” katanya.Ditanya tidakkah dia bimbang perbuatannya itu mungkin akan menimbulkan persepsi tertentu di kalangan media atau pihak lain, Nazim berkata, dia sudah berfikir secara mendalam sebelum mengemas kini mesej-mesej berkenaan di Twitter.“Saya tidak kisah dengan impak tindakan itu (luahan di Twitter) kepada nama saya kerana sebagai individu saya juga mempunyai hak untuk bersuara.“Bukan saya tidak boleh dikritik tetapi saya persoalkan caranya,” katanya.Selain Nazim, teater mengenai isteri bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu turut dibintangi antaranya Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja, Lisa Surihani, Esma Daniel, Azizah Mahzan dan Dira Abu Zahar.Diarahkan Erma Fatima, teater yang diterbitkan World Islamic Network Television itu kini dipentaskan pada setiap malam bermula 9 hingga 19 November ini di Panggung Sari, Istana Budaya.