suria

Apek & Leuniey Nikah 28 Disember, Anjur Tiga Majlis Resepsi

Apek dan Leuniey
Apek dan Leuniey
Apek dan Leuniey

PETALING JAYA: Penjaga gol pasukan bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek menamatkan teka teki tarikh perkahwinannya dengan Nur Eilunie Natasha Nazri atau Leuniey apabila memilih 28 Disember depan untuk bergelar suami isteri.

Beliau yang juga penjaga gol skuad Kelantan itu berkata, pengumuman perkahwinan itu dilakukan segera bagi membolehkan dia menumpukan pada persiapan Kejuaraan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2012 yang akan berlangsung dari 24 November hingga 22 Disember depan.

"Saya berharap selepas pengumuman (perkahwinan) ini saya dapat fokus pada persiapan pasukan kebangsaan menentang Singapura dalam Piala AFF.

"Semoga semua teka teki terjawab dan semua pihak jelas dengan pengumuman ini," katanya.

Apek mengumumkan berita gembira itu pada satu majlis sidang media yang diadakan di Hotel Royale Bintang, di sini kira-kira pukul 1 petang, Rabu.

Bagaimanapun, Leuniey tidak turut serta pada majlis itu kerana sedang menghadiri kursus perkahwinan.

Upacara akad nikah Apek, 23, dan Leuniey, 21, bakal berlangsung di kediaman pengantin perempuan di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan pada pukul 9 pagi.

Majlis persandingan sebelah perempuan bakal diadakan di Hotel Renaissance, Kota Bharu pada 30 Disember depan dengan konsep Melayu kontemporari.

Manakala resepsi sebelah Apek pula akan berlangsung di kediaman keluarganya di Kampung Chenang, Kota Bharu pada 5 Januari 2013.

Pasangan tersebut turut memilih 13 Januari 2013 untuk mengadakan majlis resepsi ketiga di Hotel Royale Bintang, Mutiara Damansara di sini.

Apek berkata, persiapan ke arah majlis itu akan berjalan seperti biasa walaupun dia sibuk dengan kejohanan bola sepak tersebut.

"Persiapan berjalan dengan lancar di mana kebanyakannya diuruskan keluarga, pengurus saya dan pihak Leuniey sendiri.

"Saya sibuk dengan jadual bola sepak tetapi Leuniey sendiri pun memang mengusahakan perniagaan andaman jadi tidak ada masalah untuk dia uruskan persiapan majlis kami," katanya.

Apek dan Leuniey mula menjalin hubungan selepas mereka berkenalan ketika terlibat dalam iklan minyak wangi 'SimplySiti Eau De Parfum' milik penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, awal tahun ini.

Difahamkan, Apek akan turut mengundang beberapa teman selebriti antaranya Datuk Siti Nurhaliza dan suami serta Adibah Noor pada majlis resepsi mereka kelak.

Keseluruhan majlis perkahwinan itu dianggarkan mencecah kira-kira RM300,000.

Artikel Sebelum

Artikel Lain