suria

Aidil Kecewa, Rita Dakwa Suami Tidak Cakap Benar

Aidil Zafuan
Aidil Zafuan
Aidil Zafuan

PETALING JAYA: Pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Radzak mengakui kecewa apabila isterinya, Rita Rudaini Mokhtar sering mengeluarkan kenyataan kononnya dia tidak pernah mempedulikan dua anaknya.

Aidil, 25, berkata, sebagai seorang bapa, dia sedih dengan kenyataan sebegitu seolah-olah dia tidak mempunyai perasaan terhadap dua anak mereka iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna yang kini berusia kira-kira setahun.

"Bapa mana yang tak sedih apabila Rita pernah berkata anak-anak tidak pernah bertanyakan tentang saya.

"Saya percaya anak-anak tidak tahu apa-apa jika tidak diajar mengenai sesuatu perkara," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

Beritahu Aidil, walaupun masalah dia dan Rita masih lagi belum selesai, dia tetap akan berusaha untuk mendapatkan hak melawat anak-anaknya itu.

"Walau apa pun terjadi, saya akan pastikan dapat berjumpa dengan anak-anak. Saya tidak sanggup kehilangan mereka.

"Saya sanggup membuat apa sahaja untuk mendapatkan hak sebagai seorang bapa," tegasnya.

Ditanya adakah Aidil akan meneruskan kes penceraiannya dengan Rita, dia enggan mengulas lanjut tentang perkara tersebut.

Dalam pada itu, dia juga turut kesal apabila diberitahu Rita dan anak-anaknya kini berada di Australia tanpa pengetahuannya.

"Sepatutnya, Rita perlu memberitahu setiap perkara yang dibuat bersama anak-anak terutamanya apabila melibatkan ke luar negara.

"Sebagai seorang bapa yang masih memberikan nafkah, saya berhak tahu setiap pergerakan anak-anak," tuturnya dengan nada kesal.

Sementara itu Rita Rudaini dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mStar Online memberitahu, Aidil tidak jujur dalam memberikan kenyataan.

Kata Rita dia tidak pernah menghalang Aidil untuk berjumpa anak-anaknya tetapi dia yang bertindak keluar dari rumah kelamin mereka di Damansara, dekat sini tanpa sebab.

Tegasnya juga jika Aidil seorang yang bertanggunjawab, sudah tentu dia akan hadir ke mahkamah apabila diarahkan berbuat demikian sebelum ini untuk menyelesaikan kes mereka tetapi sudah beberapa kali dia tidak muncul.

“Dia bagi alasan sibuk kerana bermain bola sepak. Dari situ kita boleh mengukur kejujuran kata-kata Aidil itu,” katanya.

Lebih menyedihkan Aidil juga didakwa Rita tidak memberi nafkah kepada anak-anak sehingga memaksanya menghantar saman melalui peguamnya kira-kira dua bulan lalu untuk tuntutan tersebut tetapi bintang bola sepak itu memberi alasan tidak menerima saman berkenaan.

Katanya, alasan itu tidak benar sama sekali kerana keluarga Aidil pernah berhubung dengan wakil peguam Rita yang melahirkan rasa kurang senang selepas menerima saman berkenaan.

“Saya mahu Aidil bercakap benar. Jangan putar belitkan cerita. Saya akan tetap meneruskan tindakan saya untuk menuntut keadilan,” katanya.

Rita, 35 dan Aidil, 25, bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga pihak lelaki menyebabkan perkahwinan tersebut menimbulkan masalah yang berpanjangan.

Artikel Berikut

Artikel Lain

Tragis! Ibu maut disengat tebuan