suria

Accapan Bimbang Tiada Pelapis Pelawak India

Accapan tidak nampak kemunculan pelapis pelawak berbangsa India pada hari ini berbanding era 70an hingga 90an. - Foto oleh RAYMOND OOI
Accapan tidak nampak kemunculan pelapis pelawak berbangsa India pada hari ini berbanding era 70an hingga 90an. - Foto oleh RAYMOND OOI
Accapan tidak nampak kemunculan pelapis pelawak berbangsa India pada hari ini berbanding era 70an hingga 90an. - Foto oleh RAYMOND OOI

PETALING JAYA: Pelawak Accapan mengakui berasa bimbang kerana ketiadaan generasi pelapis pelawak berbangsa India pada hari ini.

Accapan atau nama sebenarnya Chandran Rethinam, 54, berkata, dia tidak melihat kemunculan pelawak generasi baru India yang berusaha untuk mencari peluang dan membina nama dalam bidang seni.

“Kalau dari era 70an dan 80an kita dapat lihat pelawak-pelawak seperti Param, diikuti saya dan pada era 90an datang pula pelawak seperti Sathiya, Kenchana Devi dan Rama.

“Sejak era 2000 saya sudah tidak nampak pelawak India yang betul-betul menonjol. Mungkin ada seorang dua seperti Gana tetapi selebihnya tiada.

“Keadaan ini membimbangkan kerana tiada kesinambungan dari kalangan bangsa India dalam bidang ini,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.

Pelawak yang berpengalaman selama 36 tahun itu berkata, perihal tersebut mungkin terjadi disebabkan generasi muda India tidak berpeluang untuk menonjol di khalayak menerusi program televisyen, drama atau filem tempatan.

“Saya percaya pasti ada generasi muda India berbakat dan berminat dalam bidang komedi yang boleh menggantikan tempat kami generasi lama.

“Mungkin tiada tawaran atau peluang untuk mereka menonjol menyebabkan golongan muda tidak menyerlah,” katanya.

Ditanya reaksinya berhubung rungutan segelintir pelawak lama terhadap isu kadar bayaran yang tidak setimpal pengalaman, Accapan berkata, pelawak berpengalaman perlu bertolak ansur bagi membolehkan mereka terus mendapat tawaran.

“Kita kena sedar diri dalam hal ini. Tidak perlulah menetapkan harga atas nama pengalaman kerana persaingan semakin sengit daripada pelawak generasi baru.

“Saya percaya stesen televisyen dan penerbit tahu harga yang berpatutan berdasarkan pengalaman kita.

“Kalau terlalu meminta harga, akhirnya kita juga akan dipinggirkan kerana pilihan lain sentiasa ada,” katanya yang baharu terlibat dalam filem Mamak Cupcake arahan Woo Ming Jin.

Artikel Berikut

Artikel Lain