suria

Danny Akur Karier Lakonan Semakin Suram

Danny (X-Factor) akur tidak popular seperti dulu lagi. Foto IBRAHIM MOHTAR
Danny (X-Factor) akur tidak popular seperti dulu lagi. Foto IBRAHIM MOHTAR
Danny (X-Factor) akur tidak popular seperti dulu lagi. Foto IBRAHIM MOHTAR

PETALING JAYA: Pelakon Danny (X-Factor) terpaksa akur dengan karier seni lakonannya yang semakin suram sejak kebelakangan ini, tidak seperti di zaman kegemilangannya pada sekitar tahun 2001.

Danny atau nama sebenarnya Mohd Kardanie Anwa, 33, menganggap ia adalah kitaran karier sebagai seorang anak seni dan kini lebih selesa bekerja di belakang tabir dalam produksi sahaja.

"Menjadi lumrah sebagai seorang anak seni, ada masa jatuh dan bangunnya. Saya pula sudah hampir 10 tahun merasai zaman kegemilangan itu, terutamanya ketika kumpulan X-Factor ditubuhkan pada tahun 1999.

"Takkan kita nak buat kerja sama sahaja bukan? Jadi saya mengubah angin karier dengan memberi fokus pada bahagian kerja-kerja di belakang tabir pula.

"Mungkin ada yang anggap saya dah kecewa dengan industri, tetapi ia sama sekali tidak. Saya masih lagi gembira dengan kerja-kerja yang dilakukan," katanya.

Bagaimanapun tambah Danny, melibatkan diri dengan kerja belakang tabir tidak bermaksud dia akan bersara terus daripada dunia lakonan, sebaliknya masih lagi menerima tawaran berlakon yang memerlukan khidmatnya.

Pelakon ini pernah berlakon dalam filem Belukar, Maut, KL Menjerit dan Budak Kelantan.

Sementara itu, Danny turut melibatkan diri dalam kelab sukan artis iaitu Malaysian Artist Sports Club sebagai Naib Presiden.

Katanya, ia merupakan sebuah kelab khas untuk para artis tempatan yang ingin meluangkan masa dalam aktiviti sukan.

"Setakat ini ramai artis yang telah menyertai kelab ini termasuklah Fizo Omar, Fahrin Ahmad, Black, Shahir serta beberapa artis wanita lain.

"Presiden untuk kelab ini merupakan suami kepada Linda Rafar (penyanyi dan pelakon) iaitu Syed Aiman. Setiap minggu, kelab ini akan menjalankan pelbagai aktiviti sukan seperti badminton, bola sepak dan lain-lain lagi," ujarnya.

Dalam pada itu, Danny bersyukur kerana menerusi kelab tersebut, dia juga dapat membuat sasaran untuk menurunkan berat badannya yang semakin naik sejak mendirikan rumah tangga dengan Saidatul Fazlin pada tahun lalu.

"Mujurlah ada kelab sukan seperti ini. Selain mengurangkan makanan berkarbohidrat, sukan juga banyak membantu mengurangkan berat badan saya.

"Walaupun tidaklah kurus seperti dahulu iaitu 65 kilogram (kg), sekurang-kurangnya, saya tidaklah terlalu berat sehinggan 85 kg seperti tahun lalu," selorohnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain