Rais (kiri) meluangkan masa kira-kira sejam untuk melawat dan menghulurkan sumbangan kepada pelakon veteran Datuk Yahaya Sulong (tengah) di kediamannya di Perumahan Awam Seri Perak, Bandar Baru Sentul, di sini, Jumaat. Turut kelihatan isteri Yahaya, Alisah Ali. - Foto BERNAMAKUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata skim insurans bagi pelakon, penghibur dan pelawak dijangka akan diumum dan dilaksanakan pada pertengahan Januari 2013."Selaras dengan pandangan Perdana Menteri, kementerian bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sedang menyusun skim insurans untuk semua seniman berdasarkan kategori pekerjaan, perubatan, pembelaan. "Sekarang ada insurans untuk pemandu teksi... maka penghibur, pelawak, pelakon perlu mempunyai skim insurans juga."Kertas cadangan perlu diteliti dan perbincangan bersama telah bermula sejak tiga minggu lepas. Kita jangkakan akan mendapat butiran awal skim tersebut pada pertengahan Januari depan sebelum dilaksanakan," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pelawak veteran, Datuk Yahaya Sulong di kediamannya di Perumahan Awam Seri Perak, Bandar Baru Sentul, di sini, Jumaat.Sebelum ini, pada 11 Nov lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta kajian semula dibuat berhubung struktur industri hiburan yang tidak memberi pulangan adil kepada artis tanah air.Najib berkata beliau akan meminta kementerian yang terlibat supaya mengemukakan cadangan bernas untuk membantu kerajaan membuat keputusan bagi membantu mewujudkan industri hiburan yang adil dan seimbang.Rais berkata skim insurans itu akan memberi keutamaan kepada pelakon, penghibur dan pelawak dahulu sebelum diperluaskan kepada profesion sampingan seperti pakar cahaya, pakar bunyi dan lain-lain termasuk kru produksi filem dalam negara.Katanya ketika ini terdapat lebih 2,000 orang seniman, tidak termasuk warga teknikal dan kementerian sentiasa bersedia mencari jalan bagi membantu golongan ini ke arah kehidupan yang lebih baik.Terdahulu, beliau meluangkan masa kira-kira sejam melawat Yahaya, 84, dan isteri Yahaya, Alisah Ali, 65, yang turut uzur selain menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 dan bantuan berupa bayaran sewa rumah kira-kira RM900 untuk tempoh setahun.Tabung Seniman dan Tabung Budayawan dan bantuan adalah dari segi perubatan dan sewa tempat tinggal. "Kita akan cari bantuan lagi. Kes seperti ini wujud di beberapa tempat lain melibatkan rakan seperjuangan mereka seperti ada yang tidak dijaga dan ada yang terlantar. Kes seperti ini patut diberi penekanan," katanya.Dalam pada itu, Yahaya melahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada kementerian dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang sudi datang melawat dan membantu keluarganya."Insya-Allah kami akan gunakan bantuan ini untuk ubat-ubatan. Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang sentiasa mendoakan kesihatan kami. Budi baik ini akan saya kenang sehingga akhir hayat," katanya. - BERNAMA