suria

AJL27 : Aizat Bimbang Lupa Lirik Lagu Yuna

Aizat Amdan bersedia menggalas tanggungjawabnya membawakan lagu 'Terukir DI Bintang', menggantikan tempat Yuna. FOTO Facebook Aizat
Aizat Amdan bersedia menggalas tanggungjawabnya membawakan lagu 'Terukir DI Bintang', menggantikan tempat Yuna. FOTO Facebook Aizat
Aizat Amdan bersedia menggalas tanggungjawabnya membawakan lagu 'Terukir DI Bintang', menggantikan tempat Yuna. FOTO Facebook Aizat

PETALING JAYA: Penyanyi Aizat berasa gementar dan takut sekiranya dia gagal mengingati lirik ketika mempersembahkan lagu Terukir Di Bintang menggantikan tempat penyanyi asalnya, Yuna, pada Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL27) Ahad ini.

Aizat atau nama sebenarnya Aizat Amdan, 24, berkata, kerisauannya itu membuatkan dia perlu memberikan tumpuan lebih terhadap penghafalan lirik agar tidak menjejaskan persembahannya nanti.

"Setakat ini, mengenai melodi Terukir Di Bintang saya sudah biasa mendengarnya, cuma liriknya sahaja yang perlu saya fokuskan.

"Cuma, yang merisaukan saya ialah, apabila terlupa lirik di atas pentas AJL27 nanti, itu adalah perkara yang paling saya takut dan tidak mahu ianya berlaku," katanya yang dihubungi mStar Online di sini, pagi Jumaat.

Pada persembahan AJL27 nanti, Aizat akan diiringi oleh pemuzik Yuna sendiri iaitu Efry Arwis (bass), Farhan Fadzlishah (gitar) dan Adil Ali (drum).

Tambah bekas pelajar Akademi Fantasia musim kelima (AF5) ini lagi, dia juga akan memastikan tanggungjawab membantu Yuna yang juga merupakan kawan seangkatannya dalam industri muzik dilaksanakan dengan sempurna dengan memberikan persembahan yang terbaik pada malam itu.

"Insya-Allah, saya akan memberikan yang terbaik dan kalau boleh enggan mengecewakan mana-mana pihak kerana persembahan saya itu.

"Walaupun hanya tinggal dua hari lagi, ia tidak melunturkan semangat saya untuk membantu teman saya membawakan lagu ciptaannya itu. Setakat ini, saya bersama pemuzik Yuna sudah pun menjalankan latihan bersama," ujarnya.

Sementara itu, Aizat berharap agar orang ramai tidak mengkritiknya jika dia gagal membawa pulang sebarang hadiah pada malam kemuncak itu nanti.

"Saya hanya mahu bersikap adil terhadap karya Yuna dan tidak memikirkan soal kemenangan.

"Apa-apa pun, saya akan buat sebaik mungkin, Insya-Allah," tuturnya.

Pada petang Khamis, stesen televisyen TV3 dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada mStar Online memberitahu, pemilihan Aizat menggantikan tempat Yuna telah dipersetujui oleh semua pihak.

Keputusan itu dicapai selepas perbincangan bersama yang dibuat antara pihak pengurusan Yuna iaitu Yuna Room Records dan pihak produksi AJL27.

Yuna sebelum ini dilaporkan terpaksa menarik diri daripada beraksi pada kemuncak AJL27 pada saat-saat akhir kerana dia terpaksa memberikan komitmen dalam proses rakaman albumnya di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain