Scha (kanan) dan gandingan terbarunya dalam Muzik Muzik ke-28 iaitu AG.PETALING JAYA: Pelakon Scha Al Yahya menyifatkan peluang mengacarakan program carta lagu popular Muzik Muzik (MM) 28 sebagai mimpi yang menjadi kenyataan.Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 30, berkata, dia tidak menyangka hasrat untuk mengembangkan kerjaya sebagai pengacara pada 2013 termakbul selepas menerima tawaran itu. "Memang pada tahun lepas saya sudah berniat untuk mencari peluang menjadi pengacara televisyen (TV) pada 2013."Apabila TV3 merisik untuk uji bakat pada Disember lepas, saya mahu mencuba. Impian saya termakbul apabila diberikan peluang mengacarakan MM28," katanya kepada mStar Online.Scha ditemui pada pelancaran program itu di Sri Pentas, Bandar Utama di sini, petang Khamis.Scha bakal bergandingan dengan penyampai radio Hot FM iaitu AG dalam MM28 yang disiarkan bermula Sabtu ini pada pukul 5 hingga 6 petang di TV3.Isteri kepada pengacara Awal Ashaari ini berkata, perkara terpenting mengenai gandingan julung kali bersama AG adalah membina keserasian antara mereka."Saya berharap AG dapat bertolak ansur dan saling membantu. Saya juga perlu pandai selarikan diri untuk dapatkan keserasian."Komitmen program ini lama iaitu sehingga setahun, jadi saya harap dapat meningkatkan mutu mengacara dan mempelbagaikan karakter agar sebati dengan MM28," kongsinya yang mendapatkan pandangan Awal sebelum menerima tawaran terbabit.AG pula berkata, dia percaya aspek keserasian antara mereka akan diperoleh sepanjang rakaman mingguan program itu."Saya harap Scha akan membantu kerana ini gandingan pertama kami. Namun, saya percaya keserasian kami akan meningkat dari masa ke semasa pada rakaman mingguan yang bermula hari ini (Khamis)," katanya.Dalam pada itu, penerbit program berkenaan Azman Ghaffar berkata, pemilihan Scha dan AG tidak membimbangkan produksi kerana pengalaman mereka."Kami tidak risau dengan keserasian kerana ia akan diperoleh nanti. Mereka berbakat dan banyak pengalaman mengacara sebelum ini,” katanya.Masih mengekalkan carta 20 lagu terbaik dan pencalonan baharu pada setiap minggu, MM28 tampil dengan konsep infotainment dalam berkongsi perkembangan semasa industri muzik di dalam dan luar negara.Bermula musim ini, tiga segmen baharu iaitu Buzz Buzz, HOTdan Gosip Fifiturut diperkenalkan.