Shah Rezza mahu kembali dalam dunia hiburan tempatan sebagai penerbit. Foto AZHAR MAHFOF.KUALA LUMPUR: Pelakon era 80-an, Datuk Seri Shah Rezza atau nama sebenarnya Raja Shah Zurin Raja Aman Shah mahu kembali aktif dalam bidang hiburan sebagai penerbit drama dan album.Shah Rezza, 52, yang juga Pengerusi Festival Fesyen Islam (IFF) berkata, pembabitan semula itu dibuat kerana rindukan dunia seni yang telah memperkenalkannya sebagai seorang pelakon, penyanyi dan model selain mahu menyumbang kepada pembangunan industri kreatif negara. "Apa juga yang saya lakukan, perasaan rindu terhadap dunia lakonan itu masih menebal dan tahun 2013 adalah paling sesuai untuk kembali aktif."Pembabitan ini juga adalah sebagai satu tanda sokongan saya untuk melihat industri ini bertambah maju dengan pelbagai produk yang berkualiti untuk disajikan kepada penonton," jelasnya.Beliau ditemui pada majlis sambutan ulang tahunnya yang ke 52 di Penang Village di Great Eastern Mall di sini pada Ahad.Hampir 300 orang tetamu termasuklah rakan seangkatan dengannya hadir memeriahkan majlis seperti Ahmad Fauzee, Mustapha Kamal, Ebby Saiful, Nooren Noor, Salwa Abdul Rahman, Liza Abdullah, Fizo Omar, Norman Hakim, Catriana Ross, Azza (Elite), Linda Rafar, Elaine Daly dan Zul Ariffin.Shah Rezza berkata beliau menyasarkan 10 buah projek dapat dilaksanakan pada tahun ini dan memberitahu tiga buah tajuk drama sedang dalam peringkat akhir penyusunan sebelum memasuki proses penggambaran."Buat masa ini tiga projek telah mula berjalan dan harap-harap ia akan berjalan dengan lancar seperti dirancang dan ini hanyalah permulaan daripada kami," katanya.Dalam pada itu, Shah Rezza berkata, beliau juga akan membuat kemunculan sebagai pelakon dalam salah sebuah drama yang akan diterbitkan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.Menurutnya beliau sudah lama berhasrat untuk berlakon dalam sebuah produksi berkenaanbdan impian itu akhirnya dapat dilaksanakan."Memang sejak dari dulu lagi impian saya ingin berlakon dalam sebuah drama atau filem berbahasa Inggeris dan hasrat itu nampaknya hampir tercapai."Bagaimanapun tumpuan akan lebih diberikan kepada tugas saya sebagai penerbit dan lakonan hanya untuk melepaskan rindu dan mengisi masa lapang," ujarnya.Tambah beliau lagi, pihaknya turut akan menerbitkan dua buah album yang berkonsepkan wayang kulit selain sebuah album ketuhanan dengan menampilkan artis-artis 80-an seperti Ahmad Fauzee dan Nassier Wahab.Sementara itu, berkongsi harapannya bersempena hari kelahirannya yang ke 52 pada 26 Januari lalu, Shah Rezza berkata, beliau mahu mencapai semua cita-citanya yang belum terlunas sebelum menjengah usia 56 tahun."Saya masih ada empat tahun lagi untuk memperkukuhkan perniagaan yang dimiliki kini termasuk aspek lain dalam kehidupan," jelasnya.Shah Rezza sebelum ini terkenal dengan wataknya menerusi filem seperti Balik Kampung (1986), Ali Setan (1986), Marah-Marah Sayang (1987) dan Hati Bukan Kristal (1990).