IesyaPETALING JAYA: Pengacara Selamat Pagi Malaysia (SPM), Iesya Toh menegaskan aksesori bulu mata palsunya tidak memberi masalah walaupun segelintir pihak mendakwa imej berkenaan tidak bersesuaian dengan peranannya sebagai personaliti televisyen.Iesya atau nama sebenarnya Nor Iesyatirradiah Sunny Toh, 29, berkata, dia tidak menggunakan bulu mata palsu terlalu kerap khususnya ketika hendak muncul di televisyen tetapi memakainya mengikut kesesuaian. "Secara dasarnya saya tidak mengenakan bulu mata sepanjang masa dan hanya memakai mengikut kesesuaian sahaja kerana saya sedar SPM lebih kepada membincangkan topik-topik semasa dan saya tahu di mana batasannya untuk bergaya," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.Pengacara RTM ini diminta mengulas kritikan segelintir pihak yang mempersoalkan langkahnya yang mengenakan “bulu mata berduri”Iesya mengulas laporan yang menyifatkan imejnya memakai aksesori mata sehingga menjadi seperti 'bulu mata berduri' yang tidak bersesuaian sebagai seorang personaliti televisyen.Mengulas mengenai perkara itu, Iesya berkata, kelopak matanya kelihatan menyerlah mungkin disebabkan penggunaan pembayang mata dari warna tanah yang menyebabkan bahagian berkenaan lebih terserlah."Biasanya saya guna warna ceria supaya wajah kelihatan seimbang dan 'natural'. Bagaimanapun percubaan menggunakan warna tanah telah membuatkan bulu mata itu sangat menyerlah," jelasnya.Dalam pada itu, Iesya berkata, dia tidak kisah namanya dikenali disebabkan kontroversi 'bulu mata' kerana ia bukan sesuatu yang mengaibkan.Malah ia mungkin dapat memberikan tambah nilai kepadanya yang juga sedang mencipta nama sebagai penyanyi."Dulu Rozita Che Wan dan Eja pun orang kenal kerana bulu mata. Jadi saya tak lihat perkara itu sebagai masalah," katanya.Sementara itu, Iesya memberitahu, dia kini baru sahaja selesai merakamkan sebuah lagu nyanyian asal Hetty Koes Endang berjudul Kasih sebagai single pertamanya yang akan dilancarkan pada bulan Mac depan.Selain Malaysia, lagu berkenaan akan dipasarkan di Singapura dan Indonesia diikuti beberapa siri promosi untuk memperkenalkannya sebagai penyanyi."Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar lagu Kasih akan mula dimainkan di radio pada Mac dan saya sudah pun selesai merakamkan lagu tersebut," jelasnya.