suria

Hans Isaac Tak Cukup Tidur Kerana Filem 'Lawak Ke Der 2'

Hans Isaac
Hans Isaac
Hans Isaac

PETALING JAYA: Aktor dan produser Hans Isaac mengakui tidak cukup tidur selama dua bulan sepanjang proses suntingan filem Lawak Ke Der 2 pada tahun lalu.

Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 42, berkata, dia sanggup bersengkang mata bagi memastikan filem yang diambil daripada pementasan Lawak Ke Der 2 di Istana Budaya (IB) pada tahun lalu itu dipadatkan dengan lawak-lawak terbaik yang dipersembahkan oleh kumpulan Boboi, Jozan, Harith Iskander dan Nabil.

"Bukan mudah sebenarnya untuk memilih persembahan terbaik sepanjang tujuh hari pementasan yang dibuat pada tahun lalu.

"Pementasan Lawak Ke Der 2 mengambil durasi hampir dua jam,dan ia terpaksa dipotong menjadi 105 minit sahaja.

"Lagi pun, ada segelintir adegan yang dirasakan tidak sesuai dan mempunyai 'double meaning' perlu dibuang.

"Risau juga dengan penerimaan orang kerana konsep ini masih lagi baru. Dua bulan saya tak cukup tidur untuk suntingan filem ini," katanya.

Tambah Hans yang juga sebagai penerbit di bawah syarikat miliknya, Tall Order Production (TOP), dia juga telah melaburkan hampir RM500,000 bagi mempromosikan filem tersebut dan yakin kekuatan promosi yang dibuat mampu menarik perhatian khalayak.

Selain itu, ia juga akan ditayangkan ke beberapa pawagam di Brunei dan Singapura.

"Mungkin bagi sesiapa yang sudah menyaksikan pementasannya, mereka menganggap filem ni tidak perlu disaksikan lagi.

"Sebenarnya apa yang dianggap itu salah kerana kebanyakan persembahan lawak pada filem dirakam pada hari-hari terakhir pementasan dibuat.

"Pementasan di IB hanya mampu ditonton segelintir orang sahaja, yang berada di sekitar Lembah Klang, jadi mereka yang berada di luar kawasan ini agak sukar untuk datang dan menyaksikannya. Berlainan pula di pawagam, ia berada di seluruh negeri di Malaysia dan ini memudahkan mereka untuk menontonnya," ujarnya.

Filem Lawak Ke Der 2 bakal menemui penonton di 70 pawagam di seluruh negara bermula 7 Mac depan.

Artikel Berikut

Artikel Lain