suria

Adibah Noor Tidak Lagi Merajuk Selepas Jadi Deejay

Adibah Noor.
Adibah Noor.
Adibah Noor.

PETALING JAYA: Penyanyi Adibah Noor yang pernah merajuk gara-gara lagunya tidak mendapat perhatian stesen radio akhirnya memahami bagaimanakah sesebuah lagu itu disiarkan selepas dia bergelar deejay Suria FM.

Kata Adibah, 42, sesebuah stesen radio tidak boleh dipersalahkan kerana lagu seseorang artis itu hanya akan disiarkan selepas mendapat respons daripada pendengar.

"Selepas bergelar penyampai radio baru saya faham bagaimana sistem pemilihan itu dibuat dan sejujurnya stesen radio tidak boleh dipersalahkan jika tidak memainkan sesebuah lagu.

"Jadi saya tak perlulah nak merajuk.

"Ini kerana mereka sendiri mengikut sistem yang telah ditetapkan dan ia terpulang kepada respons pendengar," jelasnya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Adibah berkata, tugasnya sebagai penyampai radio segmen Ceria Pagi di stesen radio tersebut tidak memberikan kelebihan kepadanya untuk memutarkan lagu sendiri.

Katanya, layanan yang diberikan kepadanya adil seperti penyanyi lain dan dia tidak mempunyai masalah tentang perkara itu.

"Saya tidak mainkan lagu sendiri pada segmen sendiri dan kerjaya ini tidak memberi kelebihan kepada saya sebagai penyanyi sebaliknya dilayan dengan sama rata," jelasnya.

Sementara itu, Adibah berkata, dia ada merancang untuk menghasilkan sebuah lagu baharu namun tidak mahu mengambil risiko menerbitkan sebuah album penuh.

Jelas Adibah, dia perlu mengikut peredaran industri muzik tempatan yang kini lebih tertumpu kepada pengeluaran single sahaja.

"Saya akan tumpukan kepada pengeluaran single dan akan kumpulkan dalam sebuah album kerana tidak mahu mengambil risiko album tidak dapat dijual," jelasnya.

Adibah bergandingan dengan Halim Othman menerusi Slot Ceria Pagi @ Suria pada setiap hari Isnin sehingga Jumaat dari pukul 5 pagi hingga 10 pagi.

Artikel Lain