Sabri YunusSUBANG: Pelawak Sabri Yunus, 52, pernah berniat untuk meninggalkan bidang lawak sejak 10 tahun lalu kerana kecewa dengan industri hiburan yang dilihat meminggirkan cabang seni ini.Bagaimanapun dia tidak boleh berhenti secara mendadak sebaliknya memilih untuk memperlahankan aktiviti dalam bidang tersebut. "Saya pernah tekad untuk berhenti dari sebarang aktiviti lawak ini pada umur 40 tahun keran ketika itu saya anggap bidang ini semakin diketepikan masyarakat."Tapi disebabkan sifat humor yang ada dalam diri, saya tidak boleh berhenti mendadak namun cuba mengurangkannya sahaja," katanya ketika ditemui, di sini, pada Selasa.Sabri berkata, dia kesal kerana sebelum ini pelawak pernah dianggap sebagai artis yang hanya akan muncul bagi segmen selingan untuk acara-acara hiburan tanah air."Saya rasa kesal suatu masa dulu pelawak hanya digunakan sebagai penyendal bagi mengisi masa-masa kosong sesebuah acara terutamanya ketika iklan" ujarnya.Namun, melihat situasi semasa, dia bangga apabila bidang lawak kembali diangkat dan menjadi pilihan utama di stesen televisyen.Masyarakat kini menerima cabang seni ini seperti mana zaman kegemilangannya sekitar 1980an."Saya lihat pelawak kini lebih senang cari makan, apa sahaja majlis, program televisyen dan pengacaraan program banyak menggunakan khidmat pelawak."Sekarang martabat pelawak sudah kembali diangkat seperti tahun 1980an dahulu," katanya.Bagaimanapun, Sabri tidak menyangkal lambakan pelawak melalui program-program pencarian bakat sedikit sebanyak memberi impak negatif kepada industri."Jika kita tidak kawal kualiti lawak ia akan mengundang masalah juga. Dengan lambakan pelawak akan keluar cerita-cerita atau filem komedi yang tidak berkualiti," katanya.