Zamani tunggu masa sesuai untuk tampil dengan album baru. PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Slam, iaitu Zamani tidak mahu mengambil risiko menerbitkan album baru ekoran keadaan pasaran yang tidak menentu ketika ini.Zamani, 42, berkata, walaupun peminat sentiasa bertanyakan tentang perkara itu, namun dia sedang menunggu masa sesuai untuk tampil dengan karya terbaharu. "Saya masih belum merancang untuk tampil dengan album atau single terbaharu kerana keadaan industri muzik yang tidak menentu sekarang tambahan pula dengan kemunculan artis-artis baru," jelasnya kepada mStar Online.Dalam pada itu, Zamani berkata, walaupun kelihatan sepi daripada sebarang publisiti tentang diri dan kerjayanya, dia bersyukur apabila masih menerima dengan pelbagai undangan nyanyian.Malah kata Zamani, dia juga banyak menerima tawaran persembahan di luar negara seperti Singapura dan Brunei."Saya sejujurnya memang tidak berapa selesa apabila cerita peribadi menjadi tumpuan dan walaupun kurang publisiti syukur undangan nyanyian masih tidak putus," jelasnya.Bagaimanapun kata Zamani, dia sentiasa mengemaskan laman Facebook miliknya tentang aktiviti seni untuk perhatian peminat.Sementara itu, Zamani berkata, selain bakal terlibat dalam persembahan Minggu Setiausaha Kelab Darul Ehsan (KDE) pada 9 April depan, dia juga akan menjayakan tiga persembahan di Singapura pada 15 hingga 17 Mac ini.Untuk tempahan dan pertanyaan tiket mengenai persembahan Zamani di KDE boleh melayari www.ilassotickets.com atau hubungi 03-41441330, 012-3770579 dan 017-2332243.