suria

Finas Sedia Peruntukan Untuk Angkat Filem Dokumentari

Raja Rozaimie memberitahu kerajaan sedang berusaha untuk memartabatkan filem-filem dokumentari di negara ini.
Raja Rozaimie memberitahu kerajaan sedang berusaha untuk memartabatkan filem-filem dokumentari di negara ini.
Raja Rozaimie memberitahu kerajaan sedang berusaha untuk memartabatkan filem-filem dokumentari di negara ini.

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya masyarakat negara ini menerima filem-filem dokumentari yang selama ini kurang didedahkan secara meluas seperti genre filem cereka.

Ketua Pengarah, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Raja Rozaimie Dalnish Shah, berkata, pihaknya sedang cuba mengangkat filem-filem dokumentari setaraf dengan filem cereka agar negara ini tidak ketinggalan dalam menghasilkan pelbagai filem genre tersebut seperti negara-negara luar.

"Justeru itu, sebagai menarik minat para penerbit menghasilkan filem dokumentari, pihak kerajaan akan memberi bantuan daripada segi geran.

"Dan bagi yang ingin menyewa peralatan teknikal juga, pihak Finas sedia membantu dengan kadar bayaran sewa yang sangat berpatutan.

"Sekarang ini kerajaan benar-benar sedang berusaha untuk memartabatkan filem-filem dokumentari pula," katanya.

Rozaimie ditemui pada Malam Gala Asian Side of The Doc 2013 di Hotel Royale Chulan, di sini, malam Rabu.

Turut hadir Timbalan Menteri, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK,), Datuk Joseph Salang, Ketua Setiausaha KPKK, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, Timbalan Ketua Setiausaha KPKK, Datuk Ab. Ghaffar A. Tambi dan Pengerusi Finas, Datuk Md Afendi Hamdan.

Hadir sama pelakon Datuk Seri Michelle Yeoh.

Menerusi majlis tersebut juga, filem-filem dokumentari tempatan diperkenalkan kepada produksi-produksi luar negara sebagai tanda promosi karya tempatan genre tersebut ke mata dunia.

Asian Side of The Doc 2013 (ASD 2013) merupakan sebuah program pembangunan industri dokumentari yang berlangsung selama empat hari bermula Selasa lalu hingga Jumaat ini di Royale Chulan.

Ia merupakan anjuran KPKK melalui Finas dengan kerjasama Bang Singapura, Sunny Side of The Doc dan Persatuan Dokumentari Malaysia.

"Program ini disertai lebih daripada 100 penyiar dari 50 buah negara Asia, Eropah dan Timur Tengah membabitkan penerbit, ahli akademik dan pelabur.

"Antara pengisian ASD 2013 seperti persidangan, cara pemasaran, 'masterclass' dan jaringan perniagaan.

"Saya harap menerusi program ini, ia sebagai sebuah strategi bagi pembangunan industri dokumentari tempatan ke peringkat antarabangsa Insya-Allah," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain