KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi memberitahu telah dihubungi pelakon popular Indonesia Luna Maya yang ingin mendapat panduan untuk berlakon di negara ini.Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil,33, berkata pelakon itu menghubunginya baru-baru ini bagi bertanyakan prosedur rakyat luar untuk berlakon di Malaysia. "Selepas sebulan isu dengan Julia Perez, seorang pelakon Indonesia, yang memperkenalkan dirinya Luna Maya ada hubungi saya untuk bertanyakan berhubung proses produser untuk berlakon di negara kita."Luna memberitahu saya untuk berlakon dengan sebuah produksi tempatan dalam masa terdekat ini dan dia tidak mahu kehadirannya menimbulkan sebarang masalah dengan pihak kerajaan Malaysia," katanya kepada mStar Online.Bagaimanapun, jelas Zed dia tidak diberitahu tentang produksi mana dan bila penggambaran tersebut akan dilakukan.Tambah Zed, dia gembira usahanya memperjuangkan langkah memperketat kemasukan artis luar untuk berlakon di negara ini di pandang serius."Saya tidak mahu mereka sewenang-wenangnya masuk bekerja di negara kita tetapi pelakon kita terpaksa melalui banyak halangan untuk berlakon di sana.“Saya diberitahu persatuan artis di Indonesia turut mengenakan bayaran yang agak tinggi kepada pelakon luar untuk mendapatkan lesen kebenaran berlakon di negara itu," katanya.Bermula Januari 2013, artis luar yang ingin berlakon di Malaysia membuat permohonan melalui tiga persatuan seni berdaftar mengikut bidang tugas masing-masing.Tiga persatuan tersebut adalah Persatuan Profesional Pekerja Filem Malaysia (PROFIMA), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN).