suria

'Cinta Gadis Igal-Igal' Tampilkan Shahrizal Jaszle & Nabila Huda

PETALING JAYA: Gandingan dua pelakon popular Shahrizal Jaszle dan Nabila Huda akan dapat disaksikan menerusi telefilem Cinta Gadis Igal-Igal yang akan ditayangkan pada 31 Mac ini.

Drama yang disiarkan pada pukul 12 tengah hari menerusi saluran Tvi (RTM) mengajak penonton mengenali tarian Igal-Igal, salah satu tarian tradisi suku kaum Bajau di Sabah yang perlu di persembahkan dalam sesebuah majlis perkahwinan.

Ia mengisahkan pemuda kacak bernama Eddy (Shahrizal) yang berangkat ke Semporna sendirian setelah menghadapi kemelut rumahtangga dengan isterinya, Mona (Nabila).

Dia memberikan alasan kepada keluarganya mahu menenangkan fikiran dan pada masa sama ingin memikirkan cara penyelesaian konflik hubungannya dengan Mona.

Ketika di sana, dia mula terpikat dengan keindahan suasana persekitarannya dan keramahan penduduk menyambutnya sebagai tetamu dari semenanjung.

Banyak perkara baru yang diketahuinya terutama melibatkan adat, budaya dan tradisi kaum Bajau yang majoritinya adalah penghuni kampung itu.

Dalam masa sama, dia juga mula terpikat dengan seorang gadis bernama Indak, keturunan Bajau Laut yang merupakan penari tarian Igal-Igal ketika berlangsungnya sesebuah majlis perkahwinan.

Cinta baru Eddy membuatkan konflik berlaku apabila Mona ingin menjernihkan semula ikatan hubungan suami isteri yang sebelum ini diibaratkan seperti retak menanti belah. Mona mahu merebut semula hati suaminya itu walau dengan apa cara sekalipun.

Selain Shahrizal dan Nabila, Cinta Gadis Igal-Igal turut dibarisi pelakon Lia Natasha, Marlin Malalin, Aman Nassim dan Dayang Hasnah Ibrahim.

Artikel Lain