Syatilla Melvin PETALING JAYA: Pelakon Syatilla Melvin enggan dituduh menumpang populariti Saheizy Sam ekoran timbul gosip kononnya mereka bercinta.Syatilla atau nama sebenar Siti Nur Syatilla Amirul Melvinn, 22, berkata, dia berkawan rapat dengan Sam sejak tiga tahun iaitu ketika dirinya belum lagi bergelar artis. "Saya dan Sam memang kawan rapat dan kami ada juga keluar bersama jika ada masa lapang. Tapi kalau nak bercinta tu belum lagi, tidak tahulah pada masa akan datang."Saya pelik juga kenapa orang tanya pasal saya dan Sam sedangkan kami memang sudah kawan lama. Saya pasti dia juga ada kawan perempuan lain yang rapat dengannya seperti saya."Saya tidak mahu orang kata saya hanya mahu menumpang populariti dia sahaja untuk melangkah ke dunia seni ini," katanya kepada mStar Online dalam satu sesi fotografi yang dilakukan baru-baru ini.Biarpun hanya sekadar teman rapat, dia tidak menolak jika suatu hari nanti lelaki tersebut merupakan jodohnya.Bagaimanapun, Syatilla menganggap perkara tersebut hanya lumrah kehidupan sebagai artis dan sudah bersedia menempuh gosip itu.Menurut bekas peserta Dewi Remaja 2010 ini, ibunya sering memberi kekuatan dan kata-kata semangat untuk berhadapan dengan gosip dan khabar angin berkenaan."Ibu banyak bagi galakkan untuk saya menjadi artis, malah setiap kali ada gosip timbul dia yang akan hubungi saya dan bertanyakan hal tersebut," katanya.Sementara itu, Syatilla yang sering membawakan watak-watak antagonis dan penggoda mengakui sering dipandang serong ketika berada di tempat awam."Ada juga penonton yang menegur saya di luar tentang watak-watak dalam drama yang mereka tonton. Terbaru watak Fifi dalam drama Rindu Bertamu Di Abu Dhabi."Sejak setahun berada dalam dunia lakonan memang semua tawaran yang saya terima adalah watak-watak perempuan jahat dan penggoda, sebagai pendatang baru saya terima sahaja," katanya.