suria

Thanuja Tidak Putus Asa Cipta Nama Di Eropah

Thanuja.
Thanuja.
Thanuja.

PETALING JAYA: Bekas pemenang pertandingan Ratu Cantik Malaysia 2009 Thanuja Ananthan masih tidak berputus asa untuk membangunkan kariernya sebagai model di Eropah.

Thanuja, 28, berkata, dia akan berangkat ke London selama beberapa bulan bagi mencuba nasib di sana memandangkan ada tiga ajen yang berminat untuk mengupahnya.

"Walaupun mereka masih belum membuat keputusan akhir sama ada ingin mengambil saya tetapi pemergian ke London untuk bertemu mereka selain menghadiri beberapa uji bakat.

"Jika rezeki berpihak kepada saya jadi bolehlah saya mengembangkan karier peragaan di Eropah," jelasnya kepada mStar Online.

Thanuja sebelum ini pernah menyertai program Masterchef Selebriti Malaysia musim pertama.

Dalam pada itu, Thanuja berkata, pemergiannya ke London bukan bererti dia akan melupakan terus industri hiburan tempatan.

Sebaliknya, dia akan kembali ke Malaysia untuk terus memburu cita-citanya sebagai model, pelakon dan pengacara.

"Tidak mungkin saya akan terus tinggalkan tempat kelahiran saya kerana masih banyak perkara yang ingin saya capai dan pemergian ke luar negara hanya sementara," ujarnya.

Sementara itu, Thanuja berkata, demi mengejar cita-citanya bergelar model di Eropah dia terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon dan pengacaraan.

Walaupun berasa sedih kerana terpaksa melepaskan peluang itu namun dia yakin ada rezeki lain yang menunggunya.

"Tawaran itu ada tetapi keputusan harus dibuat demi masa depan dan walaupun sedih saya tidak boleh menoleh ke belakang lagi," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain